KUALA LUMPUR 24 Julai– Alpha IVF Group Berhad merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah syarikat sebanyak RM198.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FY2026) dengan peningkatan 12.3% berbanding RM176.8 juta pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) susut sedikit kepada RM53.6 juta berbanding RM57.5 juta pada FY2025 berikutan peningkatan kos yang ditanggung syarikat bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata prestasi itu didorong terutamanya oleh operasi di Malaysia yang terus menjadi penyumbang utama hasil dengan nilai RM178.8 juta atau kira-kira 90% daripada keseluruhan pendapatan kumpulan.
“Operasi di Singapura pula menyumbang RM16.1 juta, manakala Filipina dan Indonesia masing-masing menyumbang RM2 juta serta RM1.8 juta,” katanya.
Permintaan terhadap perkhidmatan rawatan kesuburan syarikat kekal kukuh apabila kedua-dua segmen pesakit tempatan dan antarabangsa mencatat pertumbuhan sepanjang tahun kewangan berkenaan.
Pertambahan Pesakit Tempatan Dan Antarabangsa
Hasil daripada pesakit tempatan meningkat 24.6% kepada RM58.6 juta, manakala hasil daripada pesakit antarabangsa bertambah 9.1% kepada RM120.1 juta berbanding RM110.1 juta sebelum ini dengan pesakit dari China mencatat pertambahan paling ketara.
Bagi suku keempat berakhir 31 Mei 2026 (4QFY2026), Alpha IVF merekodkan hasil sebanyak RM52.1 juta berbanding RM50 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala PATMI berkurangan kepada RM13.9 juta daripada RM16.1 juta disebabkan kos pengembangan yang lebih tinggi.
Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Group Berhad, Datuk Dr. Colin Lee Soon Soo berkata, kekuatan operasi di Malaysia terus menjadi pemacu utama prestasi syarikat dengan pertumbuhan sihat dalam segmen pesakit tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata, pencapaian hasil tertinggi itu mencerminkan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan rawatan kesuburan syarikat serta kepercayaan yang diberikan pesakit kepada Alpha IVF.
"Keuntungan bersih sedikit rendah berbanding tahun lalu disebabkan kos pengembangan yang tinggi ketika kami terus melabur bagi menyokong inisiatif pertumbuhan jangka panjang. Pelaburan ini dijangka mengukuhkan kehadiran serantau dan menyokong pertumbuhan kumpulan pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Dividen Hampir Keseluruhan Keuntungan
Alpha IVF turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 0.60 sen sesaham bagi FY2026 yang akan dibayar pada 12 Oktober 2026.
Jumlah dividen bagi tahun kewangan itu ialah 1.10 sen sesaham sekiranya dicampur dengan dividen interim pertama sebanyak 0.50 sen sesaham yang telah dibayar pada 31 Mac lalu.
Secara keseluruhan, syarikat mengagihkan dividen berjumlah RM53.5 juta atau bersamaan 99.7% daripada PATMI dan memenuhi komitmennya untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 60% daripada keuntungan tahunan kepada pemegang saham.
Sepanjang FY2026, Alpha IVF turut memulakan operasi pusat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) baharu di Kota Kinabalu, Sabah dan Manila, Filipina, menjadikan jumlah pusat IVF penuh miliknya meningkat kepada enam.
Pada FY2027, syarikat merancang membuka empat lagi pusat baharu iaitu masing-masing satu di Malaysia dan Filipina serta dua di Indonesia yang akan meningkatkan rangkaian pusat IVF kepada 10 buah.
Mengulas prospek syarikat, Colin berkata, pusat baharu di Sabah dan Manila telah menerima sambutan menggalakkan serta mula menyumbang kepada hasil kumpulan.
Beliau yakin apabila pusat-pusat baharu mencapai tahap operasi yang lebih matang dan kos permulaan semakin berkurangan, keuntungan syarikat akan berkembang seiring peningkatan hasil, sekali gus mengukuhkan kedudukan Alpha IVF sebagai antara penyedia rawatan kesuburan terkemuka di rantau ini. - DagangNews.com








