KUALA LUMPUR 24 Julai – Kerjaya Prospek Group Berhad mengukuhkan kedudukan dalam sektor pembinaan bernilai tinggi menerusi subkontrak mekanikal dan elektrikal (M&E) berkaitan pusat data (DC).
Penganalisis melihat kejayaan itu membuka peluang baharu dalam pasaran berkembang pesat, meskipun syarikat berdepan cabaran kelembapan segmen hartanah, tekanan kos pembinaan dan persaingan sengit.
Antaranya RHB Research yang mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.19 sesaham, yang mewakili potensi kenaikan sebanyak 32% selain jangkaan hasil dividen sekitar 5% bagi FY27.
"Pemerolehan tender M&E voltan rendah asas untuk pembinaan stesen pendaratan pengguna 275kV bagi sebuah DC di Lembah Klang merupakan projek berkaitan DC pertama Kerjaya Prospek," jelas firma itu.
Menurutnya, margin keuntungan bersih bagi projek itu dijangka sekitar 7% berikutan kebergantungan tinggi kepada subkontraktor, namun ia langkah strategik memperkukuh kehadiran dalam segmen M&E.
RHB Research turut menilai pelaburan 9% dalam ES Sunlogy sebagai pelengkap strategi kerana ada pengalaman projek utiliti elektrik DC, sekali gus berpotensi membuka banyak lagi peluang kontrak.

Setakat ini, Kerjaya Prospek memperoleh projek baharu bernilai RM2.15 bilion bagi tahun semasa, hampir mencapai unjuran firma itu, dengan beberapa tender utama masih menunggu keputusan akhir.
"Pada masa sama kami turut melihat penyertaan aktif kumpulan ini dalam projek mega transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang sebagai pemangkin utama pertumbuhan seterusnya," tambah firma berkenaan.
Sementara itu Public Investment Bank pula mengekalkan saranan 'outperform' dan TP RM3.30 sesaham kerana subkontrak DC tersebut mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam segmen pembinaan baharu.
Katanya, tender tersebut meningkatkan nilai buku terkumpul sebanyak 1.1% kepada RM4.8 bilion, dan menyediakan keterlihatan hasil tiga tahun akan datang serta mengukuhkan reputasi Kerjaya Prospek.
Firma itu menganggarkan projek itu menjana RM3.2 juta kepada keuntungan FY26 berdasarkan margin sederhana, namun mengekalkan unjuran pendapatan kerana andaian kontrak ini sudah diambil kira.
"Kami berpandangan penyertaan dalam segmen M&E berkaitan DC merupakan pemangkin pertumbuhan baharu mampu memperluaskan sumber pendapatan kumpulan untuk jangka panjang," kata PublicInvest.
Bagaimanapun ia mengingatkan Kerjaya Prospek masih berdepan risiko kelembapan sektor hartanah, tekanan kos operasi serta persaingan untuk projek-projek mega pada masa hadapan. - DagangNews.com








