MRCB, PM Multilink bina hospital baharu di Melaka dengan nilai pembangunan kasar RM520 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRCB, PM Multilink bina hospital baharu di Melaka dengan nilai pembangunan kasar RM520 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 Jan - Anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), MRCB Land Sdn Bhd, memeterai perjanjian usaha sama dengan anak syarikat Melaka Corp, PM Multilink Sdn Bhd, untuk membangunkan sebuah hospital di Bukit Baru, Melaka Tengah.

 

Syarikat usaha sama tersebut, yang dinamakan Majestic Quest Sdn Bhd, akan dimiliki 70% oleh MRCB Land, manakala baki 30% dimiliki oleh PM Multilink.

 

MRCB berkata, hospital yang dinamakan Hospital Putra itu, akan disewakan kepada Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd.

 

"Fasa pertama hospital ini merangkumi kawasan seluas 3.23 hektar dengan anggaran kos pembangunan kasar sebanyak RM520 juta.

 

"Ia akan menempatkan fasiliti pelbagai disiplin dengan pusat kecemerlangan khusus bagi perkhidmatan kardiologi dan ortopedik," jelas kumpulan dalam satu kenyataan.

 

Hospital tersebut akan dilengkapi dengan 300 katil dan ruang untuk pembinaan tambahan pada masa hadapan.

 

Terdapat kira-kira 100 suite sebagai bilik rundingan yang diperuntukkan mengikut disiplin, bersama ruang untuk perkhidmatan sokongan seperti makmal dan patologi.

 

Fasa-fasa seterusnya pembangunan Hospital Putra akan memperkenalkan kemudahan tambahan seperti hotel, kawasan runcit dan komersial, pusat rehabilitasi dan kesihatan, pusat penjagaan warga emas, asrama dan unit kediaman perkhidmatan.

 

Pengerusi Melaka Corp, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Hospital Putra merupakan pencapaian penting dalam perjalanan Melaka untuk menjadi destinasi pelancongan perubatan dan penjagaan kesihatan terkemuka.


 
Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim pula menambah, usaha sama itu mencerminkan komitmen MRCB untuk menangani keperluan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat dalam komuniti, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Melaka.

 

Hospital tersebut hanya terletak kira-kira enam kilometer dari tol Air Keroh dan sekitar dua kilometer dari Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka.

 

Usaha sama berkenaan mencerminkan komitmen MRCB untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat dalam masyarakat sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Melaka dengan memenuhi permintaan untuk pelancongan kesihatan. 

 

Hospital Putra bukan sahaja akan menyediakan rawatan perubatan yang maju, tetapi juga mencipta peluang untuk pendidikan, penyelidikan dan pembangunan ekonomi. - DagangNews.com