Ibraco meterai Perjanjian Pembelian Tenaga projek solar 100MW di Bintulu, bekal tenaga kepada SESCO selama 30 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ibraco meterai Perjanjian Pembelian Tenaga projek solar 100MW di Bintulu, bekal tenaga kepada SESCO selama 30 tahun

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Jun - Ibraco Bhd menerusi syarikat bersekutunya, Equinox Power Sdn Bhd (Equinox), memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Syarikat SESCO Berhad (SESCO) bagi pembangunan kemudahan tenaga solar fotovolta berkapasiti 100MWac di Bintulu, Sarawak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ibraco berkata Equinox akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan tenaga solar tersebut yang terletak di Lot 77, Blok 7, Daerah Tanah Kemena, Similajau, Bahagian Bintulu.

 

Menurut syarikat itu, tenaga yang dijana daripada kemudahan berkenaan akan dibekalkan kepada SESCO di bawah perjanjian jangka panjang selama 30 tahun.

 

Tempoh perjanjian itu akan bermula dari tarikh operasi komersial yang dicadangkan pada Disember 2029, tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui dalam PPA.

 

Ibraco berkata, projek itu mengukuhkan lagi penglibatan kumpulan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui yang sedang berkembang pesat di Sarawak sejajar dengan agenda peralihan tenaga dan pembangunan mampan negeri berkenaan.

 

Bagaimanapun, syarikat menjelaskan PPA tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 memandangkan projek masih berada di peringkat pembangunan.

 

"Walau bagaimanapun, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan selepas kemudahan itu memulakan operasi komersial," katanya.

 

Ibraco turut memaklumkan bahawa syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa berkaitan projek tersebut selain risiko operasi biasa yang lazim dihadapi dalam pembangunan dan pengendalian kemudahan tenaga solar.

 

Menurutnya, langkah mitigasi yang sewajarnya akan dilaksanakan bagi menguruskan sebarang risiko yang mungkin timbul sepanjang tempoh pembangunan dan operasi.

 

Lembaga Pengarah Ibraco berpandangan bahawa pelaksanaan PPA itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan dan akan menyokong pertumbuhan pendapatan jangka panjang syarikat.

 

PPA berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham ataupun mana-mana pihak berkuasa kawal selia berkaitan. - DagangNews.com