Di sebalik langkah penjimatan, pengambilan 18,000 petugas kesihatan pada 2026 diteruskan, peruntukan ubat meningkat kepada RM6.5 bilion - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Di sebalik langkah penjimatan, pengambilan 18,000 petugas kesihatan pada 2026 diteruskan, peruntukan ubat meningkat kepada RM6.5 bilion - MOF

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Jun - Kementerian Kewangan menegaskan langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan tidak menjejaskan perancangan pengambilan petugas kesihatan, pembelian ubat-ubatan, perolehan peralatan perubatan mahupun penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

 

"Bagi tahun 2026, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pelantikan lebih daripada 18,000 petugas kesihatan merangkumi 4,500 Pegawai Perubatan, lebih 3,500 jururawat dan hampir 1,000 penolong pegawai perubatan, selaras dengan perancangan asal tanpa sebarang pengurangan berbanding tahun 2025," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

MOF menambah, dalam menghadapi ketidaktentuan rantaian bekalan global, KKM bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah melaksanakan audit pantas bagi memastikan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan kritikal sentiasa mencukupi serta sebarang risiko gangguan dapat dikenal pasti lebih awal.

 

Menurut MOF lagi, walaupun KKM turut tertakluk kepada langkah penjimatan termasuk mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara, keutamaan terhadap sektor kesihatan awam kekal dipelihara.

 

"Peruntukan ubat-ubatan juga terus dipertingkatkan kepada RM6.5 bilion pada tahun 2026 berbanding RM6.0 bilion pada tahun 2025. 

 

"Ini membuktikan bahawa langkah penjimatan tidak menjejaskan keutamaan Kerajaan untuk memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti," katanya.

 

MOF berkata, program Latihan Kepakaran Lanjutan telah disediakan 400 slot dengan peruntukan RM24 juta untuk 2026 berbanding RM21.8 juta tahun 2025.

 

Lawatan Rasmi Memberi Manfaat Strategik

Mengenai lawatan ke luar negara, MOF berkata, dalam keadaan dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan bekalan global, terdapat lawatan rasmi yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan kepentingan strategik negara.

 

Sebagai contoh, lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan dan Rusia baru-baru ini telah membuahkan hasil dalam memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga negara serta mempelbagaikan sumber bekalan tenaga jangka panjang Malaysia ketika pasaran global masih tidak menentu.

 

Begitu juga penyertaan Malaysia dalam pelbagai mesyuarat dan forum antarabangsa berkaitan perdagangan, tenaga, kesihatan, pertahanan dan kerjasama serantau yang penting untuk mempertahankan kepentingan negara, memperkukuh hubungan dengan rakan strategik serta memastikan Malaysia terus mempunyai akses kepada bekalan,
pelaburan dan peluang ekonomi.

 

"Oleh itu, lawatan rasmi tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah perjalanan semata-mata, sebaliknya berdasarkan tujuan, keperluan dan hasil yang dicapai untuk negara dan rakyat," katanya. - DagangNews.com