Niche Capital Emas, Greensnow bekerjasama teroka nadir bumi di Kelantan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Niche Capital Emas, Greensnow bekerjasama teroka nadir bumi di Kelantan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Jun – Niche Capital Emas Holdings Berhad (NICE) memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) dengan Greensnow Consolidated Berhad (GCB) bagi membangunkan projek penerokaan, pengekstrakan dan pemprosesan nadir bumi di Kelantan.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, NICE berkata projek itu melibatkan kawasan kira-kira 809 hektar (2,000 ekar) di Sungai Jeli yang memberi tumpuan kepada mendapan nadir bumi jenis ion-adsorption clay (IAC-REE), serta pembangunan rantaian nilai nadir bumi bersepadu dari huluan hingga hiliran.

 

Perjanjian tersebut adalah susulan memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 7 Mei 2026, sekali gus memformalkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam sektor nadir bumi negara.

 

Di bawah JDA itu, kedua-dua pihak akan bersama-sama melaksanakan aktiviti penerokaan, penilaian sumber, pengekstrakan, benefisiasi, pemprosesan, pemisahan nadir bumi, pembangunan infrastruktur, logistik serta pengkomersialan produk akhir.

 

Sebuah jawatankuasa bersama yang terdiri daripada dua wakil setiap pihak akan ditubuhkan dalam tempoh tujuh hari perniagaan bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan projek, sebelum digantikan dengan lembaga pengarah syarikat tujuan khas (SPV) selepas penubuhannya.

 

SPV tersebut akan dimiliki secara bersama oleh kedua-dua pihak dengan modal berbayar permulaan sebanyak RM50,000 yang akan dilanggan sama rata oleh NREE dan GCB, serta bertanggungjawab melaksanakan kajian kebolehlaksanaan, perancangan lombong, kelulusan kawal selia, operasi dan pengkomersialan projek.


 

Niche Capital Emas Holdings Berhad

 


Keperluan kelulusan dan pelesenan

GCB dikehendaki memperoleh lesen melombong bagi kawasan di Kelantan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh JDA. Projek ini turut tertakluk kepada pelbagai kelulusan termasuk skim perlombongan, penilaian impak alam sekitar (EIA), lesen pembuatan serta pelan pemulihan daripada pihak berkuasa berkaitan.

 

Selain itu, pihak terlibat perlu mendapatkan perjanjian offtake bagi sekurang-kurangnya 80% pengeluaran nadir bumi melalui urus niaga komersial secara "arm’s length" dengan pembeli pihak ketiga.

 

GCB akan menyumbang hak akses tanah, kepakaran teknikal, teknologi pelarut "bio-intelligent leaching solvent" proprietari serta teknologi pemisahan nadir bumi bagi pemprosesan hiliran.

 

Perjanjian ini menetapkan syarat-syarat terdahulu yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa negeri dan persekutuan sebelum pelaksanaan penuh projek.

 

JDA ini akan berkuat kuasa selama 10 tahun dari tarikh tanpa syarat atau sehingga tamat tempoh lesen melombong, mana-mana yang terdahulu, melainkan ditamatkan melalui persetujuan bersama atau pembubaran SPV.

 

NICE berkata kerjasama ini membolehkan kumpulan mempelbagaikan perniagaan ke sektor mineral kritikal, khususnya nadir bumi yang digunakan dalam kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu, elektronik dan aplikasi pertahanan, selain memberi akses kepada portfolio tanah nadir bumi GCB seluas 410,000 ekar di seluruh Malaysia.

 

Syarikat itu menambah JDA ini tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih, gearan atau modal saham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, kecuali sumbangan modal awal RM25,000 untuk penubuhan SPV, dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham. - DagangNews.com