KUALA LUMPUR 25 Jun - UEM Sunrise Berhad telah berjaya melaksanakan terbitan Sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM300 juta dalam nilai nominal di bawah Program IMTN sedia ada, yang bersama-sama dengan Program Kertas Komersial Islam (ICP) mempunyai had agregat gabungan sehingga RM4.0 bilion.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata terbitan tersebut dilaksanakan berasaskan prinsip Syariah Murabahah melalui struktur Tawarruq.
Terbitan IMTN itu dibahagikan kepada dua tranche:
1. Tranche pertama melibatkan RM100 juta dengan tempoh lima tahun dan matang pada 25 Jun 2031
2. Tranche kedua berjumlah RM200 juta dengan tempoh enam tahun dan matang pada 25 Jun 2032.

"Hasil daripada terbitan IMTN baharu itu akan digunakan bagi tujuan korporat am patuh Syariah di peringkat syarikat dan/atau anak syarikatnya," kata UEM Sunrise.
Antara kegunaan dana termasuk pemerolehan tanah baharu, pengambilalihan syarikat, pelaburan termasuk suntikan modal ke dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan usaha sama, serta kos pembangunan projek dan infrastruktur.
Selain itu, dana juga akan digunakan bagi perbelanjaan modal, perbelanjaan operasi umum, serta pembiayaan semula kemudahan pembiayaan Islam atau pinjaman sedia ada. - DagangNews.com








