KUALA LUMPUR 25 Jun — Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) membeli sebuah hab pengedaran milik City-Link Express (M) Sdn Bhd di Bandar Saujana Putra, Selangor pada harga RM128 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengurusnya, Axis REIT Managers Berhad berkata, langkah itu
mengukuh kedudukan segmen logistik dan lengkap dengan jaminan sewaan balik selama 15 tahun.
Ujar kumpulan amanah pelaburan hartanah tersebut, pemegang amanahnya, RHB Trustees Berhad sudah menandatangani perjanjian jual beli dengan City-Link bagi mengambil alih aset syarikat berkenaan.
"Pusat ini terletak di No.1, Jalan SP 1, Bandar Saujana Putra, Jenjarom dan dibina di atas dua lot tanah komersial pegangan pajakan dengan keluasan keseluruhan 46,776.11 meter persegi," katanya.
Hartanah itu merangkumi beberapa bangunan pusat pengedaran satu tingkat, satu setengah tingkat dan dua tingkat, selain dua blok bangunan pejabat dua tingkat serta kemudahan sokongan yang lain.
Menurut Axis-REIT, sebaik sahaja transaksi dimuktamadkan yang disasarkan menjelang suku keempat 2026, City-Link masih menduduki premis tersebut menerusi pengaturan jual dan pajakan semula.
Di bawah perjanjian itu, hartanah disewa bagi tempoh tetap 15 tahun dengan kadar bulanan permulaan RM661,878, tertakluk kepada kenaikan kadar sewa yang dipersetujui sepanjang pajakan berkenaan.
Industri Logistik Semakin Berkembang Pesat
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata, pemerolehan itu akan meningkatkan lagi pendedahan Axis-REIT dalam sektor logistik.
"Tambahan pula industri ini semakin berkembang pesat didorong peningkatan aktiviti e-dagang serta permintaan terhadap rangkaian pengedaran dan penghantaran jarak akhir yang lebih cekap," katanya.
Lokasi strategik hartanah berhampiran Lebuhraya ELITE, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menjadikannya hab logistik penting.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif City-Link Express, Ronald Tan berkata, transaksi tersebut membolehkan syarikat membuka nilai aset matang dan menyalurkan semula modal kepada banyak perkara.
Antara tujuan dapat dilaksanakan ujar beliau, termasuk aspek kemajuan teknologi, penambahbaikan operasi harian, pengukuhan rangkaian dan pembangunan bakat semasa kumpulan berkenaan sendiri.
"Pusat pengedaran ini akan kekal sebagai ibu pejabat operasi syarikat dan transaksi tersebut tidak akan menjejaskan pelanggan, kakitangan atau operasi harian City-Link," tambah beliau lagi.
Axis-REIT berkata, pemerolehan itu akan dibiayai sepenuhnya melalui kemudahan pembiayaan sedia ada dan dijangka meningkatkan nisbah pembiayaan kepada 33.94% daripada jumlah aset teraudit. - DagangNews.com








