KUALA LUMPUR 25 Jun - Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PRG Holdings Bhd hari ini telah menolak tiga daripada enam resolusi utama yang dibentangkan.
Antara resolusi yang gagal mendapat kelulusan ialah cadangan pembayaran yuran dan elaun pengarah, mandat penerbitan saham baharu serta kuasa untuk melaksanakan program pembelian balik saham.
Pemegang saham kedua terbesar PRG yang memiliki pegangan 8.14%, Datuk Sheah Kok Fah, berkata keputusan itu menghantar mesej yang jelas pemegang saham mahu melihat tindakan pembetulan yang lebih konkrit terhadap beberapa isu yang masih belum diselesaikan sebelum memberikan sokongan kepada lembaga pengarah.

Menurut beliau, penolakan terhadap cadangan ganjaran pengarah menunjukkan pemegang saham tidak bersedia meluluskan pembayaran kepada ahli lembaga tanpa penyelesaian yang memuaskan terhadap isu berkaitan transaksi pihak berkaitan, rosot nilai aset dan kerugian yang ditanggung syarikat.
"Keputusan ini mencerminkan kebimbangan pemegang saham terhadap standard tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti syarikat," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemegang saham turut menolak permohonan mandat baharu untuk menerbitkan saham kerana bimbang terhadap isu tadbir urus yang berterusan serta risiko pencairan pegangan pemegang saham sedia ada.
Cadangan untuk melaksanakan pembelian balik saham juga tidak mendapat sokongan apabila pelabur dilihat enggan memberikan kuasa tambahan kepada lembaga pengarah dalam pengurusan modal selagi isu-isu tertunggak dalam syarikat belum diselesaikan.
Sementara itu, dalam AGM hari ini pemegang saham meluluskan pelantikan semula Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Tan Sri Dr. Mazlan Lazim dan Datin Arlina Ariff, selain mengekalkan BDO PLT sebagai juruaudit luar syarikat.
Sheah berkata, pelantikan semula kedua-dua pengarah itu memastikan lembaga pengarah kekal mempunyai enam anggota, sekali gus menyediakan keseimbangan dan semak imbang yang lebih baik dalam proses membuat keputusan.
Menurutnya, langkah itu lebih sesuai berbanding mengurangkan bilangan ahli lembaga yang boleh menyebabkan kuasa membuat keputusan menjadi lebih tertumpu.
Beliau turut menyifatkan pengekalan BDO PLT sebagai penting bagi memastikan kesinambungan proses audit ketika syarikat berdepan beberapa perkembangan dan maklumat baharu yang memerlukan penelitian lanjut.
AGM Hanya Langkah Pertama
"AGM hanyalah langkah pertama. Tertakluk kepada sokongan pemegang saham, kami berhasrat untuk memohon Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi mencadangkan perubahan yang kami percaya perlu untuk meningkatkan tadbir urus dan akauntabiliti dalam syarikat.
"Cadangan tersebut mungkin termasuk penyingkiran Pengarah Urusan Kumpulan sedia ada dan pelantikan pengarah baharu demi melindungi kepentingan semua pemegang saham.
"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, objektif saya bukan untuk menimbulkan gangguan, sebaliknya untuk memperkukuhkan syarikat, melindungi pemegang saham minoriti dan memulihkan keyakinan pasaran terhadap PRG," katanya.
PRG sebelum dihimpit itu tadbir urus korporat berkaitan penyelesaian hutang membabitkan anak syarikat PRG, Premier Construction (International) Sdn Bhd (PCI), dan Premier De Muara Sdn Bhd (PDM). - DagangNews.com








