Ramssol dapat kelulusan Bursa Malaysia terbitkan 15.43 juta saham, cadang ambil alih Innio dan Agensi Pekerjaan Innio | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ramssol dapat kelulusan Bursa Malaysia terbitkan 15.43 juta saham, cadang ambil alih Innio dan Agensi Pekerjaan Innio

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 JunRamssol Group Berhad menerima kelulusan Bursa Malaysia bagi penyenaraian serta sebut harga 15.43 juta saham balasan bagi melaksanakan dua cadangan pengambilalihan utama.

 

Menurut makluman kumpulan tersebut, langkah berkenaan semakin hampir merealisasikan pengembangan strategiknya dalam segmen teknologi kewangan dan pengurusan tenaga kerja di pasaran tempatan.

 

Katanya, bursa menerusi surat bertarikh 24 Jun 2026 sudah meluluskan penyenaraian dan sebut harga 15,428,000 saham balasan yang akan diterbitkan bagi menjayakan cadangan pengambilalihan tersebut.

 

"Ia melibatkan pemerolehan 60% ekuiti dalam Innio Holding Sdn Bhd (IHSB) serta 49% kepentingan dalam Agensi Pekerjaan Innio Sdn Bhd (API) oleh Rams Fintech Sdn Bhd (RFSB)," tambah Ramssol.

 

Langkah dilaksanakan anak syarikat kumpulan itu dijangka memperkukuh kedudukannya dalam teknologi sumber manusia (HR Tech), teknologi kewangan serta rumusan pengurusan tenaga kerja digital.

 

Jelasnya, kelulusan daripada Bursa Securities itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh kumpulan tersebut dan penasihat utamanya, TA Securities Holdings Berhad.

 

Ramssol_DagangNews2026

 

Antaranya kata Ramssol, mereka perlu mematuhi sepenuhnya peruntukan yang berkaitan dalam Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia berhubung pelaksanaan cadangan pengambilalihan berkenaan.

 

"Selain itu, jika urus niaga tidak dapat disempurnakan sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) akan datang, TA Securities perlu mengemukakan salinan sah resolusi daripada pemegang saham," katanya.

 

Usul tersebut bagi mendapatkan kuasa menerbitkan saham menurut Akta Syarikat 2016, dan kedua-dua pihak dikehendaki memaklumkan kepada bursa sebaik sahaja cadangan pengambilalihan itu selesai.

 

Pada masa sama, Ramssol perlu mengemukakan pengesahan bertulis kepada Bursa Securities bahawa semua terma dan syarat yang ditetapkan sudah lengkap dipatuhi selepas transaksi dimuktamadkan.

 

Terdahulu, syarikat itu mengumumkan cadangan pengambilalihan pada awal Jun 2026 sebagai sebahagian strategi perluasan portfolio perniagaan menerusi pelaburan dalam platform dan rumusan tersebut.

 

Dengan kelulusan terbaharu ini, kumpulan itu berada di landasan melengkapkan kedua-dua transaksi, sekali gus menyokong aspirasi pertumbuhan jangka panjang dalam segmen digital. - DagangNews.com