Hasil MyAxis naik 3.8% kepada RM57.2 juta bagi 3QFY26 disokong jualan produk sejuk beku lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil MyAxis naik 3.8% kepada RM57.2 juta bagi 3QFY26 disokong jualan produk sejuk beku lebih tinggi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 JunMyAxis Group Berhad mencatatkan peningkatan pendapatan 3.8% kepada RM57.233 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April 2026 berbanding RM55.101 juta pada suku sebelumnya.

 

Perkembangan positif tersebut menurut makluman kumpulan di Papan LEAP itu kepada Bursa Malaysia, disokong volum jualan yang lebih tinggi dalam segmen penyumberan dan pengedaran produk sejuk beku.

 

Keuntungan bersih namun susut kepada RM423,000 berbanding RM1.447 juta pada 2QFY26 disebabkan oleh peruntukan elaun kerugian kredit jangkaan (ECL) berjumlah RM0.439 juta serta margin lebih rendah.

 

"Prestasi lemah tersebut ekoran kenaikan kos operasi rantaian bekalan global," jelas MyAxis dengan hasil dipacu segmen penyumberan dan pengedaran produk sejuk beku yang menyumbang RM55.076 juta.

 

Sementara kira-kira RM2.157 juta lagi tambah kumpulan itu, disumbangkan oleh pemprosesan dan jualan produk daging. Pelanggan jualan kontena B2B kekal menjadi pemacu utama kepada pendapatan.

 

Bagi tempoh kumulatif selama tempoh sembilan bulan berakhir 30 April 2026, ia merekodkan jumlah hasil sebanyak RM178.408 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) yang berjumlah RM2.688 juta.

 

Selain itu, MyAxis menjelaskan bahawa sekiranya tanpa diambil kira peruntukan ECL, keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku ketiga secara pelarasan tersebut adalah kira-kira RM1.059 juta.

 

"Mengenai prospek masa depan, Lembaga Pengarah masih lagi kekal optimis terhadap asas permintaan industri daging di Malaysia yang dianggap tetap menyokong pertumbuhan syarikat ini," katanya.

 

Kumpulan akan terus memfokuskan kepada pengukuhan keupayaan pengedaran dan menambah baik portfolio produk bagi mendepani cabaran tekanan inflasi dan isu kadar pertukaran mata wang asing (forex).

 

Setakat ini, Myaxis menggunakan RM4.595 juta daripada RM5.29 juta hasil terbitan saham semasa penyenaraian, termasuk untuk pembayaran balik pinjaman bank dan modal kerja. - DagangNews.com