KUALA LUMPUR 29 Jun — MCE Holdings Berhad hampir mencapai sasaran keuntungan tahun kewangan 2026 (FY26) dalam tempoh sembilan bulan pertama, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Ujarnya, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) syarikat berkenaan sudah berjaya memenuhi sebanyak 90.9% daripada unjuran setahun penuh firma penyelidikan tersebut sendiri.
Prestasi kukuh daripada jangkaan itu mendorong ia menaikkan unjuran hasil bagi FY26 kira-kira 13% berikutan pengiktirafan yuran reka bentuk dan pembangunan (D&D) lebih tinggi daripada anggaran.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM2.42 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 15 kali bagi unjuran pendapatan sesaham (EPS) MCE pada FY27," jelas HLIB.
Bagi suku ketiga berakhir 30 April 2026 (3QFY26), kumpulan itu mencatatkan PATAMI teras RM7.2 juta, susut 7.5% berbanding suku sebelumnya tetapi meningkat 6.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu menjadikan PATAMI teras terkumpul bagi tempoh sembilan bulan pertama FY26 naik 21.3% kepada RM19.1 juta, disokong pengiktirafan yuran D&D bagi pembangunan model kenderaan baharu.

HLIB menambah, hasil juga meningkat 25% berbanding tahun sebelumnya, namun pertumbuhan keuntungan MCE itu sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan kos susut nilai dan pelunasan sebanyak 41.3%.
"Ia susulan permulaan operasi hab automotif baharu di Serendah, selain kadar cukai efektif lebih tinggi iaitu 29.4% berbanding 18.9% dalam tempoh sama tahun lalu mengekang pertumbuhan," katanya.
Menurutnya, kumpulan itu dijangka menutup FY26 dengan prestasi kukuh disokong normalisasi aktiviti pengeluaran selepas musim perayaan, dan sumbangan baharu daripada pembekalan komponen kenderaan.
Toyota Yaris Cross yang dilancarkan pada 8 Mei 2026 lalu tambah HLIB, telah menerima sambutan menggalakkan dengan 2,298 tempahan direkodkan MCE dalam tempoh dua minggu pertama pelancarannya.
Pada masa sama, Perodua dilaporkan berjaya meningkatkan pengeluaran model QV-E kepada lebih 500 unit sebulan selepas menyelesaikan beberapa isu pengeluaran, dengan promosi harga dilanjutkan.
"Kami berpandangan kejayaan pemerolehan kontrak sistem bernilai tinggi membuka banyak peluang pertumbuhan baharu selain membolehkan syarikat memanfaatkan trend penyetempatan rantaian," ujarnya.
Perkembangan itu jelas HLIB, disokong kemudahan MCE Auto Hub di Serendah serta kerjasama teknologi sistem kokpit pintar, radar mmWave dan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS). - DagangNews.com








