RT Pastry bermula sederhana di Pasaran ACE, 16.9 juta saham diniagakan awal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RT Pastry bermula sederhana di Pasaran ACE, 16.9 juta saham diniagakan awal

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 29 Jun - RT Pastry Holdings Bhd memulakan dagangan secara sederhana pada penampilan pertamanya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, apabila sahamnya dibuka pada 17.5 sen, susut 0.5 sen atau 2.8 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 18 sen sesaham.

 

Walaupun permulaan agak lemah, saham pengeluar dan pengusaha makanan serta bakeri itu mencatatkan aktiviti dagangan yang tinggi iaitu sebanyak 16.9 juta saham diniagakan pada sesi awal, sekali gus menjadikannya antara kaunter paling aktif di pasaran tempatan.

 

Prestasi penyenaraian yang kurang memberangsangkan itu mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur, namun jumlah dagangan yang kukuh menunjukkan minat berterusan terhadap syarikat baharu disenaraikan.

 

RT Pastry mengumpul dana melalui IPO bagi membiayai pelan pengembangan perniagaan, termasuk penambahan kapasiti pengeluaran, pengembangan rangkaian runcit, pengukuhan modal kerja serta pembayaran kos penyenaraian.

 

Syarikat itu mengkhusus dalam pengeluaran dan jualan produk pastri serta bakeri premium, dengan operasi lebih 17 cawangan di Lembah Klang.

 

Terbitan Awam 91.5 juta saham baharu

IPO berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 91.5 juta saham baharu, bersamaan kira-kira 27 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, dengan jumlah dana yang diraih sebanyak RM16.5 juta.

 

Sebahagian daripada hasil IPO akan digunakan untuk memperluas rangkaian runcit, termasuk pembukaan empat cawangan baharu di Lembah Klang serta dua di Pahang dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Sekitar 5.0 peratus dana pula diperuntukkan bagi pembelian mesin dan peralatan baharu seperti depositor dan mesin pemotong kek bagi menyokong operasi pengeluaran.

 

Peruntukan hasil IPO dan struktur saham

Baki kira-kira 48 peratus akan digunakan untuk melangsaikan pinjaman bank serta menampung perbelanjaan berkaitan proses penyenaraian.

 

RT Pastry memaklumkan sebanyak 16.9 juta saham diperuntukkan kepada orang awam, 6.7 juta saham kepada individu yang layak dalam syarikat, manakala 42.3 juta saham diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

 

Baki 25.4 juta saham lagi disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan pemegang saham terpilih.

 

Pada harga IPO 18 sen sesaham, permodalan pasaran RT Pastry dianggarkan sekitar RM61.03 juta pada hari penyenaraian. - DagangNews.com