Kelemahan harga saham Yinson tidak berasas, Kenanga Research yakin prospek pertumbuhan kukuh dipacu projek FPSO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan harga saham Yinson tidak berasas, Kenanga Research yakin prospek pertumbuhan kukuh dipacu projek FPSO

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kelemahan harga saham Yinson Holdings Bhd sejak kebelakangan ini disifatkan tidak mencerminkan asas perniagaan syarikat yang masih kukuh, dengan aliran tunai berulang yang stabil, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu menambah, prospek pertumbuhan pendapatan juga dijangka dipacu oleh dua projek kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) baharu bermula tahun kewangan 2028 (FY28).

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan mengekalkan saranan 'Outperform' terhadap saham Yinson dengan harga sasaran (TP) RM2.76 sesaham, sambil berpandangan penilaian semasa saham tersebut berada pada paras yang menarik.

 

Menurut firma itu, saham Yinson kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY28 sebanyak 8.6 kali, iaitu satu sisihan piawai di bawah purata PER lima tahun, sedangkan syarikat masih mempunyai prospek pertumbuhan yang kukuh dalam segmen FPSO.

 

Malah, kerugian dalam bahagian tenaga hijau juga dipercayai telah melepasi fasa terburuk selepas beberapa perniagaan yang tidak menguntungkan ditutup pada FY26.

 

"Yinson kekal menarik kerana memiliki portfolio FPSO yang kukuh dengan aliran tunai berulang, rekod pelaksanaan projek yang terbukti serta potensi membuka nilai melalui penyenaraian berasingan perniagaan FPSO di pasaran antarabangsa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini

 

Bagi suku pertama FY27, Yinson merekodkan prestasi yang secara keseluruhannya menepati jangkaan apabila keuntungan bersih teras meningkat kepada RM141 juta, selepas mengambil kira pelarasan RM21 juta bagi kerja tambahan sekali sahaja pada FPSO sedia ada.

 

Prestasi itu disokong oleh sumbangan pendapatan pajakan daripada FPSO Agogo, yang membantu mengimbangi pengurangan hasil daripada aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC).

 

Walaupun hasil kumpulan susut 15% berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan pengiktirafan hasil EPCIC yang lebih rendah, keuntungan bersih teras masih meningkat 4% tahun ke tahun hasil sumbangan pendapatan pajakan FPSO Agogo.

 

Secara suku ke suku pula, keuntungan berkurangan disebabkan hasil EPCIC yang lebih rendah serta ketiadaan keuntungan sekali sahaja daripada pelarasan kadar sewaan FPSO Anna Nery yang direkodkan pada suku sebelumnya.

 

Yinson turut mengisytiharkan dividen 2 sen sesaham, sejajar dengan jangkaan pasaran.

 

Pemangkin Pertumbuhan Kumpulan

Kenanga Research berkata, pertumbuhan pendapatan kumpulan dijangka dipacu oleh dua projek FPSO baharu di Vietnam, iaitu Lac Da Vang dan Block B, yang dijangka mula menyumbang kepada prestasi kewangan pada FY28.

 

Dalam masa sama, segmen tenaga hijau turut menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan keuntungan RM2 juta pada 1QFY27 berbanding kerugian RM17 juta pada tempoh sama tahun lalu, hasil langkah rasionalisasi perniagaan dan pengurangan kos overhed.

 

Bagaimanapun, firma itu mengingatkan beberapa risiko masih perlu diberi perhatian termasuk kos overhed yang kekal tinggi, ketidaktentuan dasar bagi pelaburan tenaga boleh baharu di pasaran sedang pesat membangun serta risiko pelaksanaan projek seperti kelewatan, lebihan kos dan gangguan operasi aset FPSO.

 

Namun secara keseluruhannya, Yinson dilihat masih berada pada landasan kukuh untuk menjana pertumbuhan jangka sederhana, disokong aliran tunai berulang daripada portfolio FPSO serta prospek permintaan global yang kekal memberangsangkan bagi aset pengeluaran minyak luar pesisir. - DagangNews.com