Axis REIT tambah komitmen hutang RM128 juta ambil alih hab agihan City-Link, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axis REIT tambah komitmen hutang RM128 juta ambil alih hab agihan City-Link, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 JunAxis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) dijangka meningkatkan lagi komitmen pembiayaan susulan cadangan pengambilalihan pusat agihan City-Link Express (M) Sdn Bhd.

 

MBSB Research berkata, langkah pemerolehan hab tersebut di Jenjarom, Selangor yang bernilai RM128 juta itu namun dilihat mampu mengukuhkan portfolio aset perindustrian jangka panjang kumpulan.

 

Usaha itu dibiayai sepenuhnya menerusi pinjaman bank sedia ada, yang dijangka meningkatkan nisbah penggearan atau hutang kumpulan kepada 0.35 kali berbanding 0.34 kali pada suku pertama FY26.

 

"Kami berpandangan impak terhadap pendapatan adalah minimum dengan aset itu dianggarkan menjana 1% kepada keuntungan Axis REIT selepas urus niaga diselesaikan pada suku keempat FY26," jelasnya.

 

Justeru, MBSB Research mengekalkan syor 'beli' terhadap kumpulan amanah pelaburan hartanah (REIT) itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.17 sesaham yang berdasarkan model diskaun dividen.

 

Menurutnya, pemerolehan pusat berkenaan adalah positif kerana memperluaskan lagi portfolio aset perindustriannya di Lembah Klang, selaras dengan strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

Artikel berkaitan: Axis REIT beli hab pengedaran City-Link RM128 juta di Bandar Saujana Utama, raih jaminan sewaan 15 tahun

 

Axis REIT_DagangNews2026

 

Hab pengedaran dibeli Axis REIT itu, kata firma penyelidikan tersebut, mempunyai keluasan lantai kasar keseeluruhan seluas 46,776 meter persegi dan kini masih diduduki sepenuhnya oleh City-Link.

 

"Aset tersebut disewakan untuk tempoh tetap selama 15 tahun, sekali gus dijangka menyediakan kestabilan pendapatan sewaan kepada kumpulan REIT itu dalam jangka panjang," tambah MBSB Research.

 

Kadar sewaan bulanan yang dipersetujui kedua-dua pihak ialah RM661,900, bersamaan pendapatan sewaan tahunan sekitar RM7.9 juta, yang diterjemahkan kepada kadar hasil kasar pemerolehan sebanyak 6.2%.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kadar hasil berkenaan dilihat masih lagi adalah sejajar dengan pulangan yang pernah dicatatkan sebelum ini bagi beberapa pemerolehan terdahulu oleh Axis REIT.

 

Selain itu ujar MBSB Research, harga pembelian sebanyak RM128 juta juga dianggap munasabah kerana hampir menyamai nilai pasaran aset tersebut yang dianggarkan mencecah kira-kira RM129 juta.

 

"Kami menjangka prospek pendapatan kekal stabil dalam tempoh sederhana, disokong oleh semakan kadar sewaan positif bagi aset perindustrian serta aktiviti pemerolehan aset yang berterusan," katanya.

 

Pada masa sama, meskipun Axis REIT perlu menanggung hutang baharu bagi pembelian tersebut, hab itu menawarkan hasil pengagihan kasar yang menarik sekitar 5.3%. - DagangNews.com