KUALA LUMPUR 29 Jun — Harga kenderaan elektrik (EV) model import sepenuhnya (CBU) di pasaran tempatan akan naik ketara melebihi RM300,000 seunit mulai 1 Julai 2026, menurut Kenanga Research.
Peningkatan itu ujarnya, susulan pelaksanaan syarat import baharu oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sekali gus menamatkan era EV import mampu milik di Malaysia.
Peraturan itu menetapkan setiap EV import perlu ada nilai minimum Kos, Insurans dan Tambang (CIF) RM200,000 serta kuasa minimum 180 kilowatt (kW) sebelum dibenarkan memasuki pasaran negara ini.
"Syarat ini bakal menyebabkan harga runcit meningkat tinggi selepas diambil kira duti import, duti eksais, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 10% serta margin pengedar," jelas Kenanga dalam nota.
Tambahnya, dasar itu secara efektif menamatkan pasaran EV import mampu milik yang menyasarkan segmen massa, termasuk model peringkat permulaan daripada jenama seperti BYD, GWM dan MG.
Bagaimanapun, pengguna masih mempunyai peluang terhad untuk membeli EV import pada harga rendah untuk CBU yang sudah berada di dalam negara atau dalam perjalanan sebelum dasar itu berkuat kuasa.

Kelonggaran tersebut ujar Kenanga, memberikan pengecualian daripada syarat baharu sehingga stok lama yang sedia ada itu habis dijual bagi mengelak ketidaktentuan harga susulan peralihan polisi.
"Kami berpandangan langkah MITI itu bertujuan menggalakkan pengeluar automotif global melabur dalam operasi pemasangan tempatan secara pemasangan terurai sepenuhnya (CKD)," kata firma tersebut lagi.
Menerusi dasar ini, MITI pada asasnya menggesa pengeluar EV global supaya melabur dalam kemudahan pemasangan tempatan dan tidak lagi bergantung kepada import kos rendah untuk menguji pasaran.
Sehubungan itu, Kenanga menjangkakan dasar berkenaan akan memberi kelebihan daya saing kepada syarikat-syarikat automotif yang sudah sedia mempunyai operasi pemasangan tempatan di Malaysia.
Antara penerima manfaat utama jelasnya, ialah Perodua menerusi kemudahan pembuatan Smart Mobility, di samping model jenama Proton dan Zeekr yang dipasang di kilang DRB-Hicom di Tanjung Malim, Perak.
"Xpeng, BAIC dan SAIC yang menggunakan fasiliti EP Manufacturing Bhd di Melaka, serta pengeluar kontrak pihak ketiga seperti Inokom Corp di bawah Sime Darby Berhad juga meraih manfaat," jelasnya.
Secara berasingan, Kenanga menjangka permintaan pengguna kemungkinan beralih pula kepada model EV hibrid plug-in (PHEV) susulan berakhirnya dasar pengecualian cukai penuh MITI ke atas EV CBU.
Ia namun mengingatkan yang barisan pemasangan EV lazimnya memerlukan 40% lebih rendah tenaga kerja, sekali gus mewujudkan cabaran baharu kepada industri automotif tempatan. - DagangNews.com








