KUALA LUMPUR 29 Jun – Kerajaan menjangkakan bekalan minyak mentah global akan mula stabil secara berperingkat bermula suku ketiga 2026, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Bagaimanapun beliau berkata, keadaan iu masih tertakluk kepada kestabilan geopolitik dan kelancaran semula laluan perdagangan.
"Ketidaktentuan harga serta bekalan tenaga dijangka terus mempengaruhi pasaran dalam jangka masa satu hingga dua tahun lagi.
"Namun, kita tidak akan menunggu sehingga keadaan benar-benar pulih. Sebaliknya, pemantauan dan intervensi akan diteruskan sepanjang tempoh pemulihan ini supaya tekanan kepada rakyat, PMKS dan industri dapat dikurangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penerangan kepada ahli Dewan Rakyat berkenaan krisis bekalan global di Parlimen hari ini.
Akmal berkata, risiko krisis bekalan global sedang diurus secara tersusun, berhemah dan berasaskan data oleh kerajaan.
Katanya, sejak konflik bermula, harga minyak mentah global menunjukkan pergerakan yang sangat tidak menentu.
Keadaan itu jelasnya, akan terus dipantau kerana volatiliti harga minyak boleh memberi tekanan kepada kos operasi, logistik, inflasi dan akhirnya harga barangan yang ditanggung oleh rakyat.
"Sebab itu Kerajaan tidak melihat krisis ini sebagai isu mingguan atau sementara. Ia adalah risiko yang perlu diurus secara berterusan untuk beberapa bulan malah tahun akan datang, sambil negara membina daya tahan ekonomi jangka panjang. - DagangNews.com








