KUALA LUMPUR 29 Jun - Fi perundingan kejuruteraan dijangka meningkat selepas Skala Fi Jurutera yang disemak semula diwartakan tidak lama lagi, kata Kementerian Kerja Raya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata semakan itu yang dilaksanakan melalui Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) adalah perlu memandangkan struktur fi sedia ada tidak pernah disemak sejak 7 Disember 1998.
Menggunakan simulasi berdasarkan projek pembangunan bernilai RM200 juta, beliau memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa skala baharu itu akan menyaksikan peningkatan fi perundingan dianggarkan sebanyak 9.23 peratus.
Beliau menjawab soalan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang bertanya mengenai status semakan fi tersebut serta sama ada kadar baharu itu akan diwajibkan kepada semua agensi pelaksana projek kerajaan.

“Pada prinsipnya, pindaan ini menukar struktur fi maksimum sedia ada kepada penanda aras fi minimum yang baharu,” katanya.
Ahmad berkata draf akhir peraturan fi yang dipinda telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan perundangan sebelum diwartakan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera.
Beliau berkata skala fi baharu itu akan diwajibkan kepada semua jurutera profesional dan firma perundingan kejuruteraan selepas diwartakan, meliputi sektor awam dan swasta.
“Pematuhan wajib adalah penting bagi memelihara integriti profesion kejuruteraan, membendung amalan penurunan harga yang tidak sihat, dan memastikan kualiti reka bentuk infrastruktur serta keselamatan awam tidak terjejas,” katanya. - DagangNews.com








