Abg Jo mahu 70% hasil cukai karbon dikembalikan kepada Sabah, Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Abg Jo mahu 70% hasil cukai karbon dikembalikan kepada Sabah, Sarawak

Gambar ihsan The Borneo Post/ Jude Toyat
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 28 Jun - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan agar 70 peratus daripada hasil cukai karbon yang akan dikutip oleh kerajaan Persekutuan dikembalikan semula kepada Sabah dan Sarawak.

 

Beliau menegaskan, cadangan itu dibuat berdasarkan peranan besar Sabah dan Sarawak sebagai kawasan utama penyerapan dan penyimpanan karbon melalui hutan hujan tropika yang luas, sekali gus menjadikan kedua-dua negeri itu penting kepada komitmen iklim negara.

 

Abang Johari berkata beliau telah mengemukakan perkara itu kepada kerajaan Persekutuan serta pemimpin Sabah sebelum pelaksanaan cukai karbon negara dilakukan.

 

“Saya sudah katakan sebelum cukai karbon dilaksanakan, perlu ada pertimbangan bahawa sebahagian hasil cukai itu mesti dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak kerana kita adalah kawasan penyimpanan karbon.

 

“Jika ada cukai karbon sebanyak X dolar, 70 peratus daripadanya mesti kembali kepada Sabah dan Sarawak kerana kita adalah penjaga karbon. Kita juga menghasilkan oksigen melalui proses fotosintesis,” katanya, menurut laporan The Borneo Post.

 

Premier Sarawak berucap pada Majlis Makan Malam Gala Sambutan Gawai-Kaamatan DCCI–KCCI ke-17 di Kompleks Unifor di sini pada Ahad.

 

Sarawak Lebih Awal

Beliau turut menegaskan, Sarawak telah lebih awal mengambil langkah ke hadapan dalam agenda perubahan iklim dengan menggubal undang-undang berkaitan pelepasan gas rumah hijau dua tahun lebih awal berbanding perundangan di peringkat Persekutuan.

 

Menurutnya, sebarang dasar karbon nasional perlu mengiktiraf peranan penting Sabah dan Sarawak yang memiliki sebahagian besar baki hutan negara yang berupaya menyerap serta menyimpan karbon.

 

“Kerana itu, undang-undang mesti mengiktiraf bahawa dasar karbon Malaysia bergantung kepada Sabah dan Sarawak. Undang-undang itu perlu adil,” tegasnya. - DagangNews.com