KUALA LUMPUR 29 Jun — Poh Huat Resources Holdings Berhad masih berdepan tekanan apabila kelembapan permintaan perabot di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan kejatuhan pertumbuhan syarikat.
Kumpulan itu kerugian bersih RM11.8 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26), sekali gus mendorong TA Securities menurunkan unjuran pendapatan bagi tempoh tiga tahun yang akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi syarikat ini jauh di bawah jangkaan susulan permintaan yang lebih lemah daripada pasaran AS, selain terjejas oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.
"Justeru kami menurunkan unjuran hasil Poh Huat bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing 55.9%, 19.6% dan 10%, selain menyemak turun harga sasaran (TP) saham kepada 66 sen berbanding 80 sen," katanya.
Susulan semakan semula pendapatan tersebut, TA Securities dalam notanya itu mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham kumpulan itu berdasarkan gandaan tujuh kali unjuran pendapatan pada CY27.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 April 2026, syarikat itu kerugian bersih berbanding keuntungan RM10.9 juta direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu, manakala hasil susut 34.4% kepada RM154 juta.

Prestasi lemah Poh Huat itu sebahagian besarnya disebabkan permintaan yang perlahan dalam pasaran perumahan dan perabot AS akibat tekanan inflasi berterusan serta prospek ekonomi semakin lemah.
"Operasi di Malaysia, merupakan segmen paling terjejas apabila kemerosotan ketara tempahan perabot pejabat dan menyebabkan ia mengalami kerugian sebelum cukai (LBT) RM15.4 juta," ujar TA Securities.
Pada masa sama jelasnya, operasi di Vietnam mencatatkan penyusutan prestasi apabila untung sebelum cukai (PBT) merosot 72.7% kepada RM600,000 berbanding RM2.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagi suku kedua FY26, kerugian bersih naik kepada RM10.1 juta daripada RM1.7 juta pada suku sebelum itu, manakala hasil Poh Huat jatuh 28.6% kepada RM64.1 juta susulan pengurangan penghantaran ke AS.
TA Securities menjangka prospek pasaran perabot AS kekal tidak menentu berikutan pelaksanaan tarif, ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan yang terus menjejaskan perbelanjaan pengguna.
"Kedudukan kewangannya namun masih kukuh dengan sifar hutang serta kedudukan tunai bersih RM259.6 juta atau bersamaan RM0.93 sesaham, dan membolehkan inisiatif pengoptimuman kos," tambah firma itu.
Langkah itu termasuk automasi dan penstrukturan semula tenaga kerja bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memelihara margin keuntungan Poh Huat dalam jangka panjang. - DagangNews.com








