KUALA LUMPUR 11 Julai — Langkah LGMS Berhad mengambil alih 27 peratus kepentingan alam Antarex Holdings Sdn Bhd bakal memperluaskan akses kumpulan ke pasaran ASEAN, menurut Malacca Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, tindakan berkenaan juga memberikan potensi kepada penyedia perkhidmatan rumusan keselamatan siber itu peluang dalam mengukuhkan kedudukannya di Singapura.
Tambahnya, ruang berkenaan mampu dimanfaatkan oleh LGMS menerusi Antarex Cyber Pte Ltd dan IPDC Solutions Pte Ltd yang ketika ini masih berusaha melaksanakan pelan penyusunan semula dalaman.
"Kami melihat pemerolehan ke atas syarikat perkhidmatan teknologi maklumat itu secara positif, sejajar dengan strategi pertumbuhan serantau LGMS sendiri," kata Malacca Securities dalam notanya.
Di samping itu, firma tersebut menambah, pengambilalihan berkenaan diramal memberikan jaminan keuntungan jangka panjang dan akan memberikan kumpulan ini dengan pendapatan yang lebih kukuh.
Ia merujuk usaha tersebut yang dibiayai sepenuhnya menerusi tunai dalaman, disokong oleh kunci kira-kira kukuh LGMS sebanyak RM69.2 juta tunai dan hutang minimum RM0.7 juta pada akhir Mac 2025.
Malacca Securities berkata, langah LGMS itu tepat pada masanya menjelang pemindahannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia menjelang suku terakhir 2025 dan mengukuhkan lagi minat pelabur institusi.
"Kami meramalkan jaminan keuntungan akan mula menyumbang sebahagiannya kepada hasil LGMS seawal FY25, memandangkan perbezaan laporan akhir tahun kewangan bagi Antarex iaitu pada Jun," tambahnya.
Katanya, dari segi unjuran awal menunjukkan RM24.5 juta daripada Antarex akan merentas antara FY26 hingga FY28 dengan LGMS memperakui bahagian keuntungan bersekutu berjumlah RM1.0 juta pada FY25.
Justeru, Malacca Securities menyemak unjuran keuntungan bersih kumpulan berkenaan masing-masing sebanyak 5%, 11% dan 11% kepada RM14.0 juta (FY25), RM16.7 juta (FY26) dan RM18.9 juta (FY27).
Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' ke atas LGMS dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM1.18 berbanding RM1.09 sebelumnya. - DagangNews.com








