Kos overhed jejas segmen pembuatan QES Group, Apex Research kekal berhati-hati | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos overhed jejas segmen pembuatan QES Group, Apex Research kekal berhati-hati

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Nov - Segmen pembuatan QES Group Bhd terus berada dalam kedudukan rugi berikutan kenaikan berterusan kos overhed bagi kilang baharunya di Batu Kawan, Pulau Pinang, meskipun fasiliti tersebut telah memperoleh sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) serta memulakan operasi komersial, menurut Apex Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar penggunaan kilang masih rendah, namun pihaknya menjangkakan prestasi segmen itu meningkat secara berperingkat dalam suku-suku mendatang sejajar pemulihan permintaan peralatan semikonduktor bahagian belakang.

 

Menurut Apex Research lagi, pihak pengurusan kini sedang meneroka peluang untuk menembusi pasaran China yang besar tetapi sangat kompetitif melalui kerjasama dengan rakan kongsi tempatan.

 

"Setakat ini, buku pesanan QES kekal stabil pada RM86 juta, terdiri daripada RM71 juta segmen pengedaran peralatan dan RM15 juta daripada segmen pembuatan," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Keuntungan 3Q25 Melencung Dari Jangkaan

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3Q25), keuntungan teras QES susut kepada RM3 juta — penurunan 49% suku ke suku dan 41% tahun ke tahun — menjadikan keuntungan teras sembilan bulan pertama 2025 kepada RM10.2 juta, lebih rendah daripada unjuran Apex Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata prestasi lemah tersebut berpunca daripada kos overhed lebih tinggi daripada dijangka, yang menekan margin keuntungan. Keuntungan bersih teras turut merosot 41% tahun ke tahun dan 25% sejak awal tahun.

 

Penurunan margin ini didorong oleh tekanan kos, persaingan yang semakin sengit, serta kerugian yang meningkat dalam segmen pembuatan akibat penggunaan kilang Batu Kawan yang masih rendah dan perbelanjaan operasi yang meningkat.

 

Sehubungan itu Apex Research telah mengemas kini model kewangan QES dan memperkenalkan semula unjuran keuntungan tahun penuh bagi 2025 dan 2026 pada RM13.3 juta dan RM17.4 juta. Angka ini masing-masing turun 8% dan 24% daripada unjuran sebelum ini.

 

Menurut Apex Research, semakan tersebut mencerminkan prestasi 3Q25 yang lebih lemah daripada jangkaan, sekali gus memerlukan penilaian semula terhadap andaian margin dan kos operasi.

 

Walaupun begitu, firma itu mengekalkan penarafan HOLD terhadap saham QES dengan harga sasaran tidak berubah pada 42 sen.

 

Tambah Apex Research, risiko terhadap prospek syarikat termasuk penggunaan kilang Batu Kawan yang lebih perlahan daripada jangkaan, persaingan lebih ketat dalam industri peralatan ujian automasi (ATE), dan ketidaktentuan dasar perdagangan semikonduktor Amerika Syarikat. - DagangNews.com