KUALA LUMPUR 24 Jun - Kerjaya Prospek Group Berhad berpotensi memperkukuhkan buku tempahan semasanya menerusi beberapa projek pembangunan yang dijangka ditawarkan sepanjang baki tahun kewangan 2026 (FY26), dengan nilai keseluruhan mencecah hampir RM1 bilion, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, antara projek yang berpotensi menjadi penyumbang kepada perolehan kontrak baharu syarikat ialah pembangunan Mezon@Park Enclave oleh Aspen Group di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Berdasarkan kontrak-kontrak terdahulu yang dianugerahkan kepada KPG, projek tersebut dianggarkan menawarkan nilai pembinaan sekitar RM200 juta hingga RM400 juta.
Selain itu, projek pembangunan oleh Kerjaya Prospek Property Bhd. (KPPROP) di Batu Kawan yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM720 juta turut dijangka menjadi antara peluang kontrak yang berpotensi untuk kumpulan itu.
Nilai kerja pembinaan bagi projek berkenaan dianggarkan sekitar RM288 juta, sekali gus mampu menyumbang kepada pertumbuhan buku pesanan KPG dalam tempoh terdekat.
"Satu lagi projek yang menjadi tumpuan ialah cadangan pembangunan hospital swasta tertiari di Andaman Island, Pulau Pinang, yang melibatkan kerjasama antara Eastern & Oriental Bhd. (E&O), Cengild Medical Bhd. dan Skyspring.
"Projek tersebut dianggarkan menelan kos pembangunan sekitar RM350 juta dan dilihat berpotensi menjadi antara kontrak utama yang boleh diraih oleh KPG memandangkan hubungan kerja sedia ada syarikat dengan E&O dalam beberapa projek pembangunan di Andaman Island," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Segmen Perindustrian
RHB Research berkata, segmen perindustrian mampu menjadi faktor tambahan yang menyokong pertumbuhan kumpulan sekiranya berjaya mendapatkan projek baharu dalam sektor tersebut.
Katanya, kali terakhir KPG memperoleh kontrak dalam segmen perindustrian adalah pada September 2023, menerusi projek untuk syarikat semikonduktor global, Texas Instruments
RHB Research berkata, kontrak yang diraih Kerjaya Prospek setakat ini telah melepasi sasaran pengurusan sebanyak RM2 bilion bagi FY26 dan hampir menyamai unjuran penambahan kontrak sebanyak RM2.3 bilion yang dibuat oleh penganalisis untuk keseluruhan tahun kewangan tersebut.
Momentum perolehan kontrak syarikat masih berpotensi diteruskan dalam baki FY26 menerusi beberapa projek yang sedang dinilai.
Dari sudut unjuran kewangan, RHB Research mengekalkan anggaran pendapatan FY26 memandangkan kontrak terkini masih berada dalam jangkaan penambahan kontrak tahunan sebanyak RM2.3 bilion.
Sehubungan itu, harga sasaran (TP) saham Kerjaya Prospek kekal pada RM3.19 sesaham, berdasarkan kaedah penilaian Sum-of-Parts (SOP) yang turut mengambil kira premium ESG sebanyak 2%, susulan skor ESG syarikat yang lebih tinggi berbanding median negara.
Selain projek pembangunan hartanah, penglibatan dalam projek infrastruktur berskala besar dilihat mampu menjadi pemangkin utama kepada prestasi masa depan syarikat.
Menurut laporan media sebelum ini, Kerjaya Prospek melalui konsortium bersama Sinohydro Corp dan Power China Group dilaporkan sedang membida Pakej 2 Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4 bilion.
Bagaimanapun, prospek kumpulan masih terdedah kepada beberapa risiko termasuk kemungkinan kelembapan dalam pasaran hartanah serta tekanan kos pembinaan yang berpanjangan. - DagangNews.com








