Kerajaan kaji kesesuaian laksana biodiesel B50, ambil kira kos naik taraf depoh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan kaji kesesuaian laksana biodiesel B50, ambil kira kos naik taraf depoh

KUALA LUMPUR 23 Jun - Kerajaan sedang menilai dan mengkaji kesesuaian pelaksanaan biodiesel B50 susulan keperluan menaik taraf depoh pengadunan sedia ada secara menyeluruh yang dijangka melibatkan kos tinggi.

 

Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi, penilaian itu dibuat bagi memastikan keupayaan negara menyokong peluasan penggunaan biodiesel tanpa menjejaskan kestabilan rantaian bekalan minyak sawit.

 

Kementerian menjelaskan, antara faktor utama yang sedang diteliti ialah keperluan menaik taraf infrastruktur depoh pengadunan sedia ada, yang memerlukan pelaburan besar sekiranya pelaksanaan B50 diperluaskan.

 

Dalam masa yang sama, penilaian turut mengambil kira data imbangan bekalan minyak sawit negara bagi tahun 2025 sebagai rujukan utama dasar.

 

Berdasarkan data tersebut, jumlah bekalan minyak sawit negara dianggarkan mencecah 22.76 juta tan, merangkumi stok awal sebanyak 1.71 juta tan, pengeluaran 20.28 juta tan dan import sebanyak 0.77 juta tan.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 15.27 juta tan diperuntukkan bagi eksport global, manakala 4.43 juta tan digunakan untuk keperluan domestik merentasi pelbagai sektor termasuk biodiesel.

 

Kementerian turut menjelaskan, pelaksanaan biodiesel sehingga B30 dijangka tidak menjejaskan bekalan eksport minyak sawit negara kerana penggunaan tambahan yang diperlukan adalah relatif kecil.

 

Peluasan B30 tidak jejaskan eksport, B50 masih dikaji

Menurut kementerian, penggunaan minyak sawit bagi menyokong pelaksanaan B30 dianggarkan sekitar 1.60 juta tan setahun atau kira-kira 7% daripada keseluruhan bekalan negara.

 

Peratusan itu dianggap kecil dan membuktikan Malaysia masih mempunyai kapasiti mencukupi untuk memenuhi keperluan eksport serta permintaan domestik secara serentak.

 

Bagaimanapun, peluasan kepada B50 masih di peringkat kajian dengan mengambil kira implikasi kos, kesiapsiagaan infrastruktur serta keupayaan rantaian bekalan.

 

Dasar jangka panjang ke arah tenaga lebih lestari

Untuk jangka panjang, kerajaan menyasarkan peningkatan penggunaan biodiesel sehingga B30 seperti digariskan dalam Dasar Agrikomoditi Negara, selain disokong Dasar Pengangkutan Negara dan Pelan Peralihan Tenaga Negara.

 

Kementerian turut menjelaskan bahawa peluasan Program Biodiesel Negara akan dilaksanakan secara berfasa ke seluruh negara menjelang 2030 bagi sektor pengangkutan darat. - BERNAMA