KUALA LUMPUR 23 Jun - Penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai ini dijangka membantu menurunkan harga barangan susulan pengurangan kos logistik dan pengangkutan, kata beberapa pakar ekonomi dan sosial.
Profesor Ekonomi Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Nanthakumar Loganathan berkata, kebanyakan sektor dalam rantaian bekalan makanan asas yang berdepan kos operasi tinggi bergantung kepada penggunaan diesel.
"Sepatutnya langkah ini memberi berita baik kepada rantaian perniagaan kerana rata-rata mengatakan kos bahan api menjadi alasan bagi mereka menaikkan harga barangan.
"Kita harap pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi ini memberi kesan kepada pengguna kerana sepatutnya harga barang di pasaran yang berasaskan pengangkutan menggunakan diesel seperti sayuran yang menggunakan kenderaan pikap turut berkurangan," katanya kepada Bernama.
Beliau berharap persatuan peniaga memberi respons positif terhadap penurunan harga diesel itu memandangkan ia mampu menjimatkan perbelanjaan operasi berbanding kos yang ditanggung sebelum ini.
Harga dijangka lebih rendah dalam rantaian bekalan
Mengulas sama ada kadar RM2.10 seliter itu dapat dikekalkan sekiranya harga minyak dunia kembali meningkat, Nanthakumar berkata kerajaan perlu berusaha mendapatkan tambahan peruntukan bekalan supaya rakyat terus menikmati subsidi bahan api menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
"Kita tidak boleh menjangka perkara yang akan berlaku dan kerajaan mungkin boleh mencari sumber atau jaminan bekalan seperti dari Rusia atau negara selain negara Arab," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia bermula Julai ini, selaras dengan pendekatan yang digunakan menerusi program BUDI95 melalui pengesahan menggunakan MyKad.
Ketika ini, diesel dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.
Penyelarasan subsidi perlu ambil kira realiti wilayah
Sementara itu, Profesor Sosiologi Politik Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Novel Lyndon berpandangan penyelarasan harga diesel bersubsidi di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, mencerminkan usaha kerajaan mewujudkan keseragaman dasar subsidi bahan api di peringkat nasional.
Menurut beliau, perbezaan harga diesel antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebelum ini telah mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat selain meningkatkan kos operasi yang akhirnya dipindahkan kepada pengguna.
"Dari perspektif ekonomi dan tadbir urus awam, langkah ini boleh dilihat sebagai usaha mengurangkan ketirisan subsidi serta memastikan manfaatnya lebih tertumpu kepada kumpulan sasaran yang benar-benar memerlukan.
"Sebelum ini, Sabah dan Sarawak menikmati harga diesel yang lebih rendah berbanding Semenanjung kerana faktor geografi, kos logistik dan kebergantungan yang lebih tinggi terhadap pengangkutan darat serta sungai.
"Oleh itu, penyelarasan ini memberi mesej bahawa kerajaan sedang bergerak ke arah sistem subsidi yang lebih standard dan berasaskan keperluan rakyat berbanding pendekatan wilayah semata-mata," katanya.
Bagaimanapun, Novel mengingatkan kesan pelaksanaan dasar itu perlu dinilai secara berhati-hati, khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai struktur ekonomi serta cabaran pembangunan berbeza berbanding Semenanjung.
Tekanan kos luar bandar perlu diberi perhatian
"Banyak kawasan luar bandar masih bergantung kepada pengangkutan diesel untuk aktiviti pertanian, perikanan, pengangkutan barang dan pergerakan harian.
"Sekiranya mekanisme bantuan atau subsidi bersasar tidak dilaksanakan dengan berkesan, peningkatan kos operasi boleh memberi tekanan kepada penduduk luar bandar dan perusahaan kecil. Ini akan meningkatkan kos sara hidup," katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan perlu memastikan komunikasi dasar dilaksanakan secara jelas, telus dan berkesan kerana rakyat bukan sahaja menilai kadar harga diesel, malah mahu melihat bagaimana penjimatan hasil rasionalisasi subsidi dikembalikan dalam bentuk pembangunan infrastruktur, kemudahan asas, pendidikan, kesihatan dan bantuan kos sara hidup.
"Kejayaan dasar ini akhirnya bergantung kepada sejauh mana rakyat dapat merasakan manfaat langsung daripada penjimatan yang diperoleh kerajaan. Perkara ini amat penting dalam membina naratif tentang kejujuran kerajaan dalam membantu rakyat yang memilih mereka sebagai kerajaan," katanya.
MyKad sebagai mekanisme subsidi lebih bersasar
Dalam perkembangan sama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penggunaan MyKad sebagai mekanisme utama pengagihan subsidi diesel merupakan langkah penting untuk memperkukuh keberkesanan sistem subsidi negara.
Menurut beliau, penggunaan MyKad bukan sahaja memastikan bantuan disalurkan secara lebih bersasar, malah dapat membantu mengurangkan ketirisan yang sering berlaku dalam sistem sedia ada.
Katanya, pengalaman pelaksanaan subsidi RON95 menggunakan MyKad sebelum ini membuktikan mekanisme tersebut mampu berfungsi dengan baik dan berpotensi diperluaskan kepada diesel.
"Langkah ini penting terutamanya apabila ia melibatkan penggunaan MyKad sebagai mekanisme utama bagi pengagihan subsidi diesel.
"Saya percaya pengalaman penggunaan MyKad bagi RON95 yang telah berjaya dilaksanakan akan diguna pakai bagi diesel.
"Perkara ini membolehkan bantuan lebih bersasar di samping dapat mengumpul data penggunaan bahan api secara tepat dan menyeluruh serta mematahkan kegiatan jenayah seperti penyeludupan bahan api," katanya. - BERNAMA








