Feytech sedia latihan industri, peluang pekerjaan dalam sektor automotif kepada pelajar dari lima universiti teknikal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Feytech sedia latihan industri, peluang pekerjaan dalam sektor automotif kepada pelajar dari lima universiti teknikal

Lima universiti tersebut ialah UMPSA, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun – Feytech Holdings Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Konsortium Automotif Universiti-universiti Malaysia (CAuto) bagi membangunkan program latihan industri yang menghubungkan lima universiti teknikal awam dengan sektor pembuatan automotif negara.

 

Kerjasama itu diterajui oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan disaksikan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Lima universiti tersebut ialah UMPSA, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

 

Menerusi kerjasama tersebut, Feytech akan menyediakan penempatan pembelajaran berasaskan kerja, latihan industri serta sokongan bagi projek tahun akhir di bawah kerangka Inkubator Penyelidikan dan Industri Terapan (MRI3) Kementerian Pendidikan Tinggi.

 

Program itu turut merangkumi pemberian elaun latihan industri dan penajaan kepada projek tahun akhir terpilih, selain membuka peluang pekerjaan kepada graduan yang menunjukkan prestasi cemerlang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kerjasama berkenaan dilaksanakan pada waktu yang tepat ketika Malaysia sedang memperkukuh pembangunan bakat untuk menyokong ekosistem automotif generasi baharu.

 

Menurut beliau, hubungan lebih erat antara industri dan institusi pengajian tinggi kini menjadi semakin penting memandangkan sektor automotif sedang melalui perubahan besar menerusi penggunaan teknologi elektrifikasi, automasi dan pendigitalan.

 

t

 

“Inisiatif itu bukan sekadar menyediakan latihan industri, sebaliknya membuka ruang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman dalam persekitaran pembuatan sebenar serta terlibat secara langsung dengan teknologi pengeluaran semasa.

 

“Pada masa sama, pelajar juga berpeluang memahami cabaran sebenar industri, menyumbang kepada inovasi dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

 

“Kerjasama tersebut turut membantu memperkukuh pembangunan bakat tempatan dan keupayaan industri negara, sekali gus meningkatkan daya saing syarikat Malaysia dalam aktiviti automotif bernilai tambah tinggi,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Connie Go berkata, pembangunan bakat dan kemajuan teknologi perlu diberi perhatian ketika negara bergerak pantas ke arah penggunaan kenderaan elektrik (EV).

 

Menurut beliau, selain sokongan kerajaan menerusi dasar yang progresif, pemain industri juga perlu memainkan peranan dengan mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelajar, membangunkan tenaga kerja masa depan dan menggalakkan pemindahan teknologi.

 

“Kerjasama dengan CAuto itu bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan tenaga kerja semasa, malah mempersiapkan pelajar untuk menghadapi persekitaran kilang pintar yang diintegrasikan dengan kecerdasan buatan (AI) dan pengeluaran EV pada masa depan,” katanya.

 

Naib Canselor UMPSA merangkap Pengerusi CAuto, Profesor Dr Yatimah Alias pula berkata kerjasama tersebut akan memberi akses lebih luas kepada pelajar daripada lima universiti awam untuk mendapatkan pendedahan industri dan pengalaman pembelajaran praktikal dalam sektor kenderaan elektrik serta pembuatan automotive.

 

“Pada masa sama, program akademik kekal relevan dengan keperluan industri yang sentiasa berubah,” katanya. - DagangNews.com