Fasa kedua pusat data Johor berpotensi tambah RM1.25 sesaham kepada penilaian YTL Power, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fasa kedua pusat data Johor berpotensi tambah RM1.25 sesaham kepada penilaian YTL Power, kata Kenanga Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Jun - YTL Power International Berhad berpotensi menikmati peningkatan penilaian saham hampir 40% sekiranya projek pengembangan fasa kedua pusat datanya di Johor berjaya direalisasikan, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga sasaran semasanya sebanyak RM4.55 sesaham hanya mengambil kira kapasiti pusat data berkontrak sebanyak 298MW yang sedang dibangunkan di Johor.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7.5MW melibatkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan bersama Nvidia, manakala baki kapasiti digunakan menerusi model penyewaan kolokasi.

 

Bagaimanapun, kapasiti keseluruhan pusat data itu dijangka meningkat kepada 600MW menjelang penghujung tahun depan.

 

“Fasa pengembangan kedua sebanyak 300MW berpotensi menambah sekitar RM1.25 sesaham kepada penilaian kami,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini sambil mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap saham YTL Power.

 

Penilaian Semasa Kekal

Menurut Kenanga Research, walaupun prospek pengembangan itu positif, syarikat masih berdepan risiko kerana kapasiti tambahan sedang dibangunkan sebelum memperoleh pelanggan atau pembeli kapasiti yang komited.

 

“Ini boleh menyebabkan risiko kadar penggunaan kapasiti yang lebih rendah daripada jangkaan. Justeru, kami mengekalkan penilaian semasa tanpa sebarang perubahan buat masa ini,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, YTL Power terus menjadi antara pilihan utama sektor utiliti berikutan kestabilan pendapatannya yang disokong oleh portfolio aset terkawal selia di beberapa negara.

 

Selain itu, prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat turut dipacu oleh pengembangan perniagaan pusat data dan penyertaan dalam sektor perbankan digital.

 

Dalam perkembangan lain, projek kemudahan solar berkapasiti 215MWac milik YTL Power dilaporkan berada di landasan yang tepat untuk disiapkan menjelang akhir tahun ini.

 

Setakat ini, syarikat telah memeterai Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) berkapasiti 300MW dengan Tenaga Nasional Berhad, manakala satu lagi ESA tambahan berkapasiti 300MW masih dalam proses.

 

Tenaga Hijau

Bagi menyokong keperluan tenaga hijau pelanggan pusat datanya, anak syarikat milik 70% YTL Power, SIPP, sedang membangunkan kemudahan solar luar grid tanpa bateri berkapasiti 215MWac.

 

Kemudahan itu akan membekalkan tenaga bersih secara terus kepada pelanggan kolokasi dan merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan solar yang lebih besar dengan kapasiti keseluruhan 500MWac.

 

Kenanga Research berpandangan gabungan pertumbuhan pusat data, tenaga boleh baharu dan aset utiliti sedia ada akan terus menyokong prestasi kewangan YTL Power dalam jangka panjang. - DagangNews.com