KUALA LUMPUR 23 Jun – Bintulu Port Holdings Bhd mengesahkan anak syarikat milik penuhnya, Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) akan terus mengendalikan Pelabuhan Bintulu walaupun status pelabuhan itu kini bertukar daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri di bawah kerajaan Sarawak.
Syarikat itu berkata peralihan berkenaan dimuktamadkan menerusi perjanjian tiga pihak yang ditandatangani oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak dan BPSB pada 21 Jun lalu.
Majlis pemeteraian perjanjian itu berlangsung sempena acara penyerahan cek dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Bintulu Port Holdings, perjanjian tersebut turut menyelesaikan segala hak, tuntutan dan tanggungjawab yang timbul daripada perjanjian penswastaan Pelabuhan Bintulu yang dimeterai pada 31 Disember 1992 antara kerajaan Persekutuan, Lembaga Pelabuhan Bintulu dan BPSB.
Perkembangan itu secara rasmi menamatkan kedudukan Pelabuhan Bintulu sebagai sebuah pelabuhan Persekutuan selepas lebih tiga dekad beroperasi di bawah pengaturan tersebut.
Pelabuhan Bintulu Tamat Era Sebagai Pelabuhan Persekutuan Di Bawah MA63
Pemindahan kuasa kawal selia pelabuhan kepada kerajaan Sarawak juga merupakan antara pencapaian penting yang direkodkan di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kerajaan Sarawak kini merupakan pemegang saham terbesar Bintulu Port Holdings dengan pegangan keseluruhan sebanyak 41.71%, menerusi Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak yang memiliki 26.67% dan Equisar Assets Sdn Bhd sebanyak 15.04%.
Equisar Assets ialah syarikat pegangan pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak manakala kerajaan Persekutuan melalui PETRONAS masih memegang kepentingan ekuiti sebanyak 28.52% dalam Bintulu Port Holdings.
Bintulu Port Holdings berkata, kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk mengekalkan BPSB sebagai pengendali yang diberi kuasa menguruskan Pelabuhan Bintulu selepas ia menjadi pelabuhan negeri.
BPSB dijangka memeterai satu lagi perjanjian dengan pihak berkuasa negeri berkaitan bagi mengendalikan operasi, pengurusan dan pembangunan pelabuhan itu pada masa hadapan.
BPSB Kekal Pengendali, Operasi Dan Kedudukan Kewangan Tidak Terjejas
Syarikat itu menegaskan proses peralihan status berkenaan tidak akan menjejaskan operasi harian pelabuhan, kesinambungan perkhidmatan serta hak dan obligasi sedia ada BPSB.
Langkah tersebut juga dijangka tidak memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih, modal saham dan pegangan pemegang saham utama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Bintulu Port Holdings berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar serta operasi pelabuhan kekal stabil, cekap dan tidak terganggu.- DagangNews.com








