Keputusan dicatat KLK pada FY25 dinilai bercampur, penganalisis kekal pandangan berhati-hati | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keputusan dicatat KLK pada FY25 dinilai bercampur, penganalisis kekal pandangan berhati-hati

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 NovKuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mencatat keputusan kewangan FY25 yang bercampur, apabila kekuatan segmen huluan gagal mengimbangi tekanan berterusan operasi hiliran.


Justeru, tiga firma penyelidikan utama mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap prospek kumpulan berkenaan memasuki FY26, meskipun prestasi aktiviti huluan terus menunjukkan pemulihan stabil.


Maybank Investment Bank menilai keuntungan bersih FY25 gagal memenuhi jangkaan apabila hanya meraih 89%, walaupun hasil huluan mencatat perolehan kasar RM2.24 bilion, naik 42% tahun ke tahun (YoY).


"Kelemahan ketara timbul dalam segmen pembuatan yang mencatatkan kerugian RM26 juta selain kerugian penyertaan dalam Synthomer serta susut nilai aset sebanyak RM60 juta," katanya dalam satu nota.


Firma itu namun menjangkakan FY26 lebih baik disokong hasil buah tandan segar (BTS) lebih tinggi, margin pembuatan bertambah baik dan sumbangan daripada sektor hartanah syarikat yang meningkat.


Bagaimanapun Maybank IB menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM20.30, dengan saranan 'pegang' masih dikekalkan, manakala dividen akhir dicadangkan pada 40 sen, membawa jumlah FY25 kepada 60 sen.


Sementara itu, CGS International menegaskan walaupun keuntungan bersih FY25 adalah RM1.22 bilion, naik 41% YoY dan berada dalam jangkaan, segmen hiliran KLK pula dijangka terus bergelut kerugian.


"Ia akibat kos bahan mentah utama untuk penghasilan produk masih tinggi, persaingan harga sengit, dan kadar penggunaan rendah di fasiliti oleokimia baharu kumpulan berkenaan," kata firma tersebut.


Justeru, ia mengunjurkan segmen huluan kekal menjadi penyumbang utama keuntungan syarikat, dibantu dengan jangkaan yang harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat kepada RM4,500 setiap tan pada FY26.


CGSI namun memberi amaran KLK mungkin menghadapi risiko tambahan berbanding pesaing Malaysia, memandangkan 57% ladangnya terletak di Indonesia, yang terdedah kepada kemungkinan kenaikan levi.


Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'pegang' dengan TP RM22.00 sesaham, sambil memberi amaran terhadap risiko dasar Indonesia serta potensi tekanan harga jualan purata (ASP).


MBSB Research pula menyatakan keuntungan bersih syarikat tu adalah selari dengan jangkaan, disokong oleh prestasi huluan kukuh dengan output BTS, kos pengeluaran rendah dan harga isirung tinggi.


"Segmen hiliran namun mencatat kerugian sebanyak RM74.2 juta pada FY25, disebabkan margin oleokimia yang terhakis, manakala segmen hartanah KLK juga mencatat penurunan 7.1% YoY hasil kasar," katanya.


Walaupun begitu, firma berkenaan optimis terhadap prospek huluan bagi tiga tahun akan datang hasil pemulihan tuaian BTS dan kadar perahan minyak sawit yang kembali kepada paras sebelum pandemik.


Berdasarkan situasi itu, MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan TP RM20.23, sementara dividen akhir pula dijangka 40 sen membawa dividen setahun kepada 60 sen bersandarkan hasil 2.9%.


Walaupun nada analisis lebih berhati-hati, secara keseluruhan ia masih memihak kepada KLK yang mencerminkan keseimbangan antara kekuatan huluan dan cabaran berterusan hiliran. - DagangNews.com