KUALA LUMPUR 11 Jun – Risiko gangguan bekalan akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah masih berada pada tahap terkawal dan tidak dijangka menjejaskan aktiviti pengeluaran domestik dalam jangka masa terdekat, menurut Apex Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah kerajaan untuk memastikan kelangsungan bekalan bahan api dan rantaian bekalan negara dijangka terus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, sekali gus membolehkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7% bagi 2026 dicapai.
“Semakan saluran kami menunjukkan risiko gangguan bekalan masih boleh diuruskan pada masa ini, tanpa tanda-tanda gangguan menyeluruh merentasi sektor-sektor utama ekonomi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Apex Securities, tinjauan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan menunjukkan aktiviti pengumpulan inventori masih berterusan, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Buletin Suku Tahunan bagi suku pertama 2026 melaporkan bahawa syarikat-syarikat menyimpan inventori mencukupi untuk tempoh antara tiga hingga empat bulan.
Pada masa sama, kebanyakan syarikat turut mengambil langkah mempelbagaikan pembekal dan destinasi eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber bekalan sahaja.
Firma itu menjangkakan konflik di Timur Tengah akan beransur reda pada suku ketiga tahun ini, selaras dengan senario asas BNM yang mengandaikan penutupan sementara Selat Hormuz hanya sehingga penghujung Ogos 2026.
“Kami tidak menjangkakan konflik semasa akan memberi kesan material kepada aktiviti pengeluaran domestik atau menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.
Apex Securities berkata, pertumbuhan ekonomi turut akan disokong oleh prestasi kukuh eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E), perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta permintaan domestik yang kekal stabil.
Selain itu, pelaksanaan dasar kerajaan seperti subsidi bersasar RON95 dan diesel serta bantuan tunai termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan program Jualan Rahmah dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
Momentum Pertumbuhan Kekal Positif
Firma penyelidikan itu berpandangan bahawa momentum pertumbuhan ekonomi akan kekal positif selepas Malaysia mencatat prestasi KDNK suku pertama 2026 yang lebih kukuh daripada jangkaan pasaran.
Bagaimanapun, ia mengingatkan bahawa risiko masih cenderung ke arah penurunan sekiranya konflik geopolitik berlarutan lebih lama daripada yang dijangkakan.
“Dalam senario yang lebih buruk, jika gangguan berterusan sehingga penghujung tahun, pertumbuhan KDNK Malaysia berpotensi menyederhana kepada sekitar 4.0%, iaitu had bawah julat unjuran rasmi BNM antara 4.0% hingga 5.0%,” katanya.
Dari sudut fiskal, Apex Securities tidak melihat sebarang risiko besar terhadap kedudukan kewangan negara walaupun bil subsidi bahan api meningkat kepada RM7.5 bilion pada April sebelum menurun kepada RM3.5 bilion pada Mei.
Menurutnya, pelaksanaan reformasi subsidi bahan api bersasar sejak beberapa tahun lalu telah membantu mengukuhkan daya tahan fiskal negara, selain komitmen kerajaan terhadap langkah rasionalisasi kos dalam sektor awam.
“Walaupun defisit fiskal berpotensi melepasi sasaran rasmi 3.5% daripada KDNK pada 2026, sebarang lebihan kecil dijangka masih boleh diuruskan sekiranya ia berpunca daripada langkah sementara bagi mengekalkan kestabilan ekonomi ketika ketidaktentuan geopolitik meningkat,” katanya.
Secara keseluruhan, firma itu menjangkakan profil kredit berdaulat Malaysia akan kekal kukuh dengan penarafan gred pelaburan masing-masing pada A- (Stabil) oleh S&P Global Ratings, A3 (Stabil) oleh Moody’s dan BBB+ (Stabil) oleh Fitch Ratings. - DagangNews.com








