KUALA LUMPUR 25 Sept - Kenaikan drastik nilai ringgit mungkin memberikan kesan negatif untuk sementara waktu terhadap perolehan jangka dekat VS Industry Bhd walaupun jumlah pengeluaran sepatutnya kekal pada paras tinggi pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) dengan sokongan permintaan bermusim.
RHB Investment Bank berkata, hal ini kerana VS Industry mengambil masa untuk menyemak semula terma-terma dengan pelanggan-pelanggan utama bagi mengambil kira kadar pertukaran asing (FX) baharu.
"Walaupun begitu, pertumbuhan perolehan unjuran FY25 sebanyak 37% dijangka dipacu jumlah pesanan oleh Pelanggan X yang kembali ke paras normal, sumbangan daripada pelanggan baharu (pesanan baharu berjumlah RM300 juta sudah diambil kira) dan pemulihan perniagaannya di China selepas langkah penstrukturan semula selesai.
"Sementara itu, penubuhan operasi perniagaan di Filipina patut bermula pada awal tahun 2025, tetapi kami mengandaikan impak perolehan yang rendah pada FY25 sebelum sumbangan positif diterima pada FY26," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Investment dalam pada itu mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) baharu mencecah RM1.39 sesaham daripada RM1.49 sebelum ini.
Menurut firma penyelidikan, harga saham VS Industry berpotensi menaik 22% dan kadar hasil dividen sekitar 3% untuk FY25.
ARTIKEL BERKAITAN: VS Industry peroleh tempahan baharu di Filipina dengan jangkaan hasil sebanyak RM1.5 bilion
"Keputusan FY24 yang dicatat olehVS Industry dilihat mengatasi jangkaan berikutan margin untung yang lebih kukuh daripada jangkaan.
"CAGR perolehan tiga tahun yang tinggi sebanyak 30% akan diperkukuh oleh pengembangan ke pasaran Filipina yang akan memberikan bahagian pasaran yang besar, sementara pembangunan keupayaan baharu akan mengembangkan rangkaian rantai bekalan bagi meningkatkan keberuntungan.
"Tambahan lagi, syarikat ini berpeluang baik untuk memanfaatkan peluang-peluang yang timbul daripada pelencongan perniagaan akibat perang perdagangan," jelasnya.
Sementara itu, kata RHB Investment, keputusan kewangan FY24 VS Industry melepasi jangkaan dengan untung bersih teras RM198 juta (+5% YoY), menjangkaui ramalan firma dan konsensus sebanyak 10% dan 14% ekoran margin lebih baik.
"Selepas keputusan diumumkan, kami menaikkan FY25-FY26 2-3% dan memperkenalkan ramalan perolehan FY27 (+15%). Walau bagaimanapun, TP kami jatuh kepada RM1.39 selepas membuat penyelarasan akibat asas saham lebih besar susulan penukaran waran, kerana waran ini sudahpun diambil kira dalam nilai (untuk mengumpul hasil maksimum sebanyak RM437 juta.
"TP kami yang memasukkan diskaun ESG 2% menandakan P/E 2025F masih 19x, atau +2SD berbanding purata lima tahun saham ini," ujarnya. - DagangNews.com








