KUALA LUMPUR 30 Jun — Keperluan air yang semakin meningkat akibat perkembangan pesat industri pusat data (DC) berpotensi menjadi cabaran utama kepada Malaysia sendiri, menurut analisis RHB Research.
Isu itu dikhuatiri bermasalah jika projek pembinaan dan naik taraf loji rawatan air (LRA) mengalami kelewatan, serta menjejaskan margin rizab bekalan yang kini sudah berada hampir pada paras minimum.
Tambah firma tersebut, kelewatan pelaksanaan infrastruktur air merupakan antara risiko paling besar selain kemungkinan pengurangan pelaburan atau penghijrahan pengendali DC ke negara-negara lain.
"Margin rizab air di Semenanjung Malaysia dan Labuan berada pada 14.4% pada 2025 berbanding 15.4% pada 2023 dan 14.9% pada 2024, hampir kepada paras minimum 15% yang disarankan," kata RHB Research.
Bagaimanapun, ia berpandangan kapasiti bekalan masih lagi mampu menampung pertumbuhan industri DC menerusi pelaksanaan pelbagai projek LRA baharu di negeri-negeri utama seperti Johor dan Selangor.

Mengikut unjuran firma itu, setiap kapasiti DC sebanyak 1 megawatt (MW) memerlukan 25,500 meter padu air setahun atau 0.07 juta liter sehari (MLD), kebanyakannya bagi tujuan sistem penyejukan.
Ujar RHB Research, berdasarkan kapasiti pelbagai projek DC baharu sebanyak 2,714MW yang dijangka dibangunkan di seluruh Malaysia, permintaan air tambahan dianggarkan boleh mencecah 189 MLD.
"Walaupun angka itu dijangka naik kerana masih ada beberapa projek DC belum memeterai perjanjian bekalan elektrik, kami berpendapat pertambahan bekalan air masih melebihi keperluan," jelasnya.
Selangor katanya, dijangka menambah kapasiti bekalan air yang terbesar menjelang 2030 hingga 2031 sebanyak 2,360 MLD, manakala Johor bakal pula 1,100 MLD, diikuti Negeri Sembilan sebanyak 383 MLD.
Di Johor, semua 48 DC dijangka beroperasi menjelang 2030 dengan kapasiti keseluruhan mencecah 5.1 gigawatt (GW), dan cuma memerlukan 238 MLD, lebih rendah berbanding pertambahan kapasiti dirancang.

RHB Research berkata, peningkatan penggunaan air oleh DC dijangka memberi manfaat kepada Ranhill Utilities selaku operator air Johor, dengan berpotensi menjana pendapatan tambahan RM8.3 juta.
"Di Selangor, permintaan air daripada DC dianggarkan 345 MLD, dengan Gamuda dan Taliworks berada pada kedudukan strategik untuk memperoleh beberapa kontrak pembinaan LRA baharu," tambahnya.
Bagi Negeri Sembilan dan Melaka, firma penyelidikan itu menjangkakan tiada tekanan besar terhadap sistem bekalan air untuk menyokong keperluan DC antara 121 hingga 149 MLD di dua negeri tersebut.
Selain pembangunan infrastruktur baharu, Malaysia ujar RHB Research, turut merangka Dasar Tebus Guna Air Kebangsaan bagi memperluas penggunaan air kitar semula untuk sektor industri termasuk DC.
Pengeluaran air itu yang kini mencecah 48.5 MLD dan disasarkan meningkat kepada 118 MLD menjelang 2030, sekali gus memperkukuhkan kelestarian bekalan dan pertumbuhan ekosistem DC negara. - DagangNews.com








