Kejatuhan 34% hasil F&N bagi 1QFY26 disebabkan tekanan margin, kesan tukaran asing - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kejatuhan 34% hasil F&N bagi 1QFY26 disebabkan tekanan margin, kesan tukaran asing - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Feb — Penyusutan 34% pendapatan teras Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) bagi suku pertama tahun kewangan 2026, didorong tekanan margin dan kesan pertukaran asing (forex).


Menurut TA Securities dalam nota analisisnya hari ini, perkembangan lemah pada tiga bulan tersebut dilihat sebagai cabaran jangka pendek yang diimbangi oleh ketahanan permintaan pasaran domestik. 


Justeru firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM40.50 daripada RM39.06 sebelum ini, susulan semakan kadar bebas risiko kepada 3.5%.


"Kami menyifatkan pendapatan teras F&N bagi 1QFY26 yang berjumlah RM122.7 juta, sejajar jangkaan dan merangkumi 23% unjuran setahun penuh, meskipun merosot 20.4% tahun ke tahun (YoY)," katanya.


Situasi berkenaan jelas TA Securities, terutamanya disebabkan sumbangan hasil kasar lebih rendah daripada segmen di Malaysia dan Indochina, selain kadar cukai efektif yang tinggi pada 36.1%.


Tambahnya, bagi segmen Malaysia, pendapatan naik 5.6% YoY kepada RM812.4 juta, disokong pemulihan permintaan di Sabah dan Sarawak, serta peluasan saluran hotel, restoran, kafe dan ketering.


Selain itu jelas firma penyelidikan tersebut, pertumbuhan secara dua digit bagi jualan eksport, khususnya ke negara-negara pasaran Afrika turut dilihat berjaya membantu kumpulan berkenaan.


"Hasil kasar segmen ini namun susut 10.7% YoY kepada RM86.6 juta akibat kesan forex kira-kira RM14.8 juta susulan ringgit kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," kata TA Securities.


Artikel berkaitan: Untung bersih Fraser & Neave merosot 34% kepada RM112.2 juta pada 1QFY26


Sementara itu, segmen Indochina mencatat penurunan pendapatan kasar lebih ketara sebanyak 31.8% YoY kepada RM91.0 juta, berikutan kejatuhan hasil 20.9% YoY, disebabkan forex negatif RM6.7 juta.


Di samping itu jelas firma berkenaan, kos overhed yang ditanggung oleh F&N di kawasan tersebut juga didapati lebih tinggi berikutan penubuhan kemudahan pembuatan baharu syarikat di Kemboja.


Penurunan jualan kata TA Securities, dipengaruhi pengurangan stok perdagangan, banjir teruk di selatan Thailand dan eksport lebih lemah ke Kemboja akibat penutupan sempadan secara berpanjangan.


"Dari segi prospek pula, kami menjangkakan permintaan domestik masih kekal lagi berdaya tahan pada tempoh 2QFY26, disokong isu kitaran jualan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri," tambahnya.


Pada masa sama ujar firma penyelidikan tersebut, tiga bulan itu juga diunjur positif berikutan sumbangan produk baharu yang menyasarkan pengguna muda dan pengedaran meluas susu segar Magnolia.


TA Securities turut yakin, keadaan operasi di Indochina dijangka dapat dipulihkan secara beransur-ansur sejajar pemulihan aktiviti ekonomi dan pengisian semula inventori di pasaran Thailand.


Ia mengekalkan unjuran pendapatan F&N bagi FY26 hingga FY28, sambil kumpulan itu didorong oleh fokus secara berterusan terhadap pengurusan kos, kecekapan operasi dan strategi lindung nilai. 


"Faktor ini dijangka dapat membantu syarikat tersebut dalam mengurangkan tekanan forex dan menyokong ketahanan pendapatan kumpulan dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com