KUALA LUMPUR 5 Feb – Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) merosot 34 peratus kepada RM112.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2025 (1QFY2026), berbanding RM169.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan prestasi tersebut disebakan dolar Amerika Syarikat yang lebih lemah terhadap operasi kumpulan, selain pendapatan kewangan yang lebih rendah serta peningkatan kadar cukai efektif.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, F&N berkata kadar cukai efektif yang lebih tinggi berpunca daripada peningkatan cukai pegangan dan kegagalan mengiktiraf aset cukai tertunda berkaitan kerugian ladang tenusu.
“Hasil kumpulan turut mencatat penurunan 6.21 peratus tahun ke tahun kepada RM1.3 bilion, berbanding RM1.38 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
“Pendapatan kewangan pula merosot 72 peratus kepada RM1.83 juta berbanding RM6.56 juta setahun lalu.
“Pendapatan sesaham bagi suku tersebut susut kepada 30.6 sen daripada 46.1 sen pada 1QFY2025,” katanya dalam makluman tersebut.
F&N tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku berkenaan.
Bagi prospek akan datang, kumpulan menjangkakan ketidaktentuan mata wang akan terus menjadi cabaran, namun kesannya dijangka berkurangan dalam beberapa suku akan datang disokong oleh disiplin kos, peningkatan kecekapan operasi serta pelaksanaan strategi lindung nilai.
Keutamaan utama F&N bagi tahun kewangan 2026 termasuk meningkatkan bahagian pasaran, memperkukuh kesinambungan bekalan di rantau Indochina serta meneruskan pelaburan strategik bagi meluaskan jangkauan pengguna dan menyokong penciptaan nilai mampan. - DagangNews.com








