Johor gesa Putrajaya segera umum pelan induk JS-SEZ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor gesa Putrajaya segera umum pelan induk JS-SEZ

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Julai - Kerajaan Negeri Johor menggesa kerajaan Persekutuan supaya segera mengumumkan pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap negeri itu terus dikekalkan.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan induk berkenaan tidak wajar ditangguhkan lagi sehingga Retreat Pemimpin Malaysia-Singapura pada penghujung tahun memandangkan ia tidak memerlukan kelulusan Singapura.

 

Menurut beliau, semua maklum balas daripada agensi berkaitan di Malaysia dan Singapura telah pun diperoleh bagi memuktamadkan pelan induk tersebut.

 

"Perkara ini tidak sepatutnya terus dilengahkan. Ia melibatkan kepastian kepada pelabur, hala tuju sektor, zon pelaburan, insentif, infrastruktur, pembangunan bakat dan penyelarasan antara agensi.

 

"JS-SEZ terlalu penting kepada Bangsa Johor. Kerajaan Negeri memohon dan menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak melengahkan lagi perkara ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.

 

FB Onn Hafiz

 

Onn Hafiz berkata, pelan induk itu pada asalnya dijangka diumumkan menjelang penghujung 2025 sebelum tarikh pelancarannya dianjak ke 30 Mac 2026.

 

Bagaimanapun, pengumuman tersebut sekali lagi ditangguhkan.

 

Pelan Induk JS-SEZ Telah Mendapat Kelulusan Jemaah Menteri

Kenyataan beliau dibuat sehari selepas Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan bahawa pelan induk JS-SEZ telah siap dan mendapat kelulusan Jemaah Menteri, namun hanya akan dilancarkan secara rasmi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

 

Menurut Akmal, pelancaran itu dijangka disempurnakan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada suku keempat tahun ini.

 

Walaupun pengumuman rasmi ditangguhkan, beliau menjelaskan pelaksanaan inisiatif JS-SEZ sebenarnya telah pun berjalan.

 

JS-SEZ yang dimeterai secara rasmi pada Januari 2025 dirangka bagi membangunkan Johor dan Singapura sebagai hab ekonomi rentas sempadan utama yang meliputi Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Sedenak dan Desaru.

 

Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada sektor strategik termasuk pembuatan bernilai tinggi, logistik, ekonomi digital, tenaga serta pembangunan modal insan.

 

Pelan induk itu dijangka menjadi dokumen utama yang akan memperincikan hala tuju pembangunan JS-SEZ, termasuk strategi pelaburan, pembangunan infrastruktur, insentif, tadbir urus dan penyelarasan antara agensi bagi mempercepatkan pelaksanaan projek serta menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing. - DagangNews.com