KUALA LUMPUR 2 Julai - Kementerian Pengangkutan memaklumkan projek Sistem Transit Aliran Pantas Autonomi Bertingkat Johor Bahru (e-ART) kini masih dalam proses memuktamadkan terma perjanjian konsesi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata rundingan masih berlangsung dan projek itu dijangka siap dalam tempoh empat tahun selepas perjanjian tersebut ditandatangani.
"Terma-terma yang dipersetujui akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri sebelum perjanjian konsesi ditandatangani.
"Projek e-ART dijangka siap dalam tempoh empat tahun dari tarikh pengeluaran surat setuju terima," katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, antara perkara yang masih dirundingkan termasuk struktur pembiayaan projek, komitmen kewangan kerajaan serta mekanisme pembayaran balik sepanjang tempoh konsesi.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila perjanjian konsesi tersebut dijangka dimeterai.
Projek e-ART Johor Bahru kembali menjadi bualan setelah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta Kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek berkenaan bagi mengelak kesesakan lebih serius apabila Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link) mula beroperasi pada 1 Januari tahun depan.
Onn Hafiz malah menyatakan kerajaan negeri sedia membangunkan sendiri e-ART sekiranya kerajaan Persekutuan memulangkan 25% hasil cukai yang dijana oleh negeri itu.
Artikel berkaitan: Johor bina sendiri E-ART jika Putrajaya pulangkan 25% hasil cukai – Onn Hafiz
Mei lalu, kerajaan mengeluarkan surat hasrat kepada sebuah konsortium bagi pelaksanaan projek tersebut menerusi kerjasama awam-swasta (PPP).
Konsortium berkenaan dianggotai DOM Industries (M) Sdn. Bhd., MMC Engineering Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh tidak langsung MMC Corp Bhd, BTS Group Holdings Public Company Ltd serta Nylex (Malaysia) Bhd, yang 42.2% dimiliki Ancom Nylex Bhd.
Projek e-ART dianggarkan menelan kos sekitar RM10 bilion atau kira-kira RM350 juta bagi setiap kilometer, tidak termasuk kos pengambilan tanah.
Kos sebenar projek bergantung kepada jajaran laluan serta panjang sistem yang akan dimuktamadkan.
Projek e-ART diperkenalkan bagi menggantikan cadangan Sistem Transit Aliran Pantas Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) yang diumumkan pada 2016 dengan anggaran kos melebihi RM2.5 bilion.
Pelaksanaan IMBRT bagaimanapun berdepan beberapa kelewatan susulan pertukaran kerajaan Persekutuan pada 2018 dan pandemik COVID-19.
Walaupun projek perintis dilancarkan pada 2021, ia dibatalkan pada 2022 selepas berlaku pertukaran pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri Johor.
Kerajaan negeri Johor kemudian memilih pendekatan e-ART pada 2024 selepas menilai sistem IMBRT tidak mampu menangani kesesakan lalu lintas secara optimum kerana laluan bas tersebut perlu berkongsi jalan dengan kenderaan lain.
Pelaksanaan e-ART dijangka menjadi antara pemangkin utama kepada transformasi sistem pengangkutan awam di Johor Bahru, selain melengkapkan pembangunan infrastruktur utama lain termasuk Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dalam usaha meningkatkan mobiliti dan merangsang pertumbuhan ekonomi di negeri itu. - DagangNews.com








