Enest berhasrat teroka permintaan tinggi sarang burung di China selepas pindah ke Pasaran ACE - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Enest berhasrat teroka permintaan tinggi sarang burung di China selepas pindah ke Pasaran ACE - TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 JulaiEnest Group Berhad berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan permintaan semakin terus meningkat positif terhadap sarang burung yang boleh dimakan di China.

 

Menurut analisis TA Securities, perkembangan itu membuka ruang pertumbuhan baharu apabila syarikat  tersebut membuka tawaran awam permulaan (IPO) untuk berpindah ke Pasaran ACE pada 15 Julai 2026.

 

Ujarnya, kedudukan kukuh dalam pemprosesan dan pengedaran sarang burung walit dibersihkan (RCEBN) dan reputasi dalam pasaran China menjadi antara pemacu utama prospek pertumbuhan jangka panjang.

 

"Enest yang sudah disenaraikan di Pasaran LEAP pada 2019 kini melaksanakan proses pemindahan bagi memperluaskan akses kepada pasaran modal dan meningkatkan profil korporatnya," jelas firma itu.

 

IPO itu kata TA Securities melibatkan terbitan awam 116.3 juta saham baharu dan tawaran jualan 15.1 juta saham sedia ada, mewakili sejumlah 22.6% daripada modal saham terbitan syarikat diperbesarkan.

 

Selain perniagaan teras dalam pemprosesan dan pengedaran RCEBN, syarikat itu turut terlibat dalam perdagangan sarang burung walit tidak dibersihkan (RUBN), dan penjualan produk sarang burung.

 

Enest_DagangNews2026

 

"Kami difahamkan Enest turut menjual produk yang telah diproses serta mengendalikan rangkaian kedai runcit kesihatan dan penjagaan diri di Negeri Sembilan di bawah jenama Kang Li," katanya.

 

TA Securities berpandangan, antara kekuatan utamanya ialah rangkaian pembekal, jaminan kualiti produk dan reputasi di China, iaitu destinasi eksport utama industri sarang burung Malaysia.

 

Firma itu turut menyifatkan pasukan pengurusan berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam operasi harian sebagai kelebihan yang mampu menyokong pelaksanaan strategi pertumbuhan syarikat.

 

Dari segi penilaian, Enest diniaga pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 9.4 kali berasaskan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kalendar 2025 dengan harga IPO hanya 13 sen sesaham.

 

"Kami menetapkan nilai saksama (FV) pada 13 sen sesaham dengan PER 9.0 kali ke atas unjuran EPS tahun kalendar 2027, berbanding purata syarikat setara serantau iaitu kira-kira 14 kali," tambah TA Securities.

 

Pada masa sama, penilaian yang lebih konservatif itu juga mengambil kira cabaran industri termasuk penyusutan jumlah eksport sarang burung dari pemain Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Bagaimanapun ujarnya, prospek permintaan yang terus berkembang di China dijangka kekal menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan Enest selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE. - DagangNews.com