Vinvest Capital catat kerugian bersih RM112 juta bagi 6QFY26 akibat perbelanjaan susut nilai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vinvest Capital catat kerugian bersih RM112 juta bagi 6QFY26 akibat perbelanjaan susut nilai

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 JulaiVinvest Capital Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM112.41 juta bagi suku keenam tahun kewangan yang berakhir pada 30 April 2026 (6QFY26).

 

Prestasi hambar ini dilaporkan berpunca daripada peruntukan perbelanjaan susut nilai muhibah atas penyatuan yang berjumlah RM103.9 juta serta kerosakan nilai piutang perdagangan sebanyak RM3.0 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat namun menjelaskan yang isu kerosakan nilai tersebut adalah bersifat bukan tunai dan bukan operasi, sebaliknya hanya pelarasan perakaunan sahaja.

 

"Kumpulan ini bukan kehilangan langsung wang tunai secara fizikal, dan catatan itu tidak memberi impak langsung kepada operasi harian atau aliran tunainya," jelas Vinvest kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi suku yang dilaporkan, ia menjana hasil RM917,000, manakala bagi tempoh terkumpul 16 bulan berikutan pertukaran akhir tahun kewangan, kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM40.1 juta.

 

Kerugian bersih terkumpul bagi tempoh berkenaan mencecah RM195.05 juta, dengan sektor pembinaan muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan terkumpul dengan nilai RM20.3 juta (50.6%).

 

Vinvest_DagangNews2026

 

Selain itu tambah Vinvest dalam makluman tersebut, diikuti oleh segmen pembangunan hartanah mencecah RM15.1 juta atau kira-kira 37.7%, dan segmen aluminium pun sebanyak RM7.8 juta (19.4%).

 

"Mengulas mengenai status korporat, syarikat kini diklasifikasikan sebagai 'Penerbit Terbitan Tersenarai Yang Terjejas' di bawah Peraturan 8.03A keperluan Penyenaraian Pasaran ACE," katanya.

 

Permohonan syarikat untuk dikecualikan daripada klasifikasi tersebut ditolak oleh Bursa Securities pada 21 April 2026, dan pihak lembaga pengarah memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan balas.

 

Melangkah ke hadapan, pengurusan Vinvest menyatakan bahawa pasaran hartanah dijangka terus menghadapi cabaran ekoran ketidaktentuan geopolitik global dan kenaikan kadar inflasi semasa.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu sedang mengambil langkah proaktif dengan meneruskan kerja-kerja asas dan persediaan perlu untuk melancarkan semula pelan perniagaan apabila keadaan bertambah baik,

 

"Di samping itu, syarikat ini memberi tumpuan kepada kecekapan kos operasi untuk kekal berdaya saing," jelasnya dalam laporan suku tersebut. - DagangNews.com