Pertikaian pembayaran ECRL: Mudajaya terima notis timbang tara daripada CCC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertikaian pembayaran ECRL: Mudajaya terima notis timbang tara daripada CCC

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai – Mudajaya Group Berhad berdepan satu lagi perkembangan penting dalam pertikaian kontrak melibatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila anak syarikatnya menerima notis timbang tara daripada kontraktor utama projek berkenaan.

 

Anak syarikatnya, Mudajaya Corporation Berhad (MCB) menerima Notis Timbang Tara bertarikh 29 Jun 2026 oleh China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC) yang membuka fasa baharu dalam pertikaian undang-undang antara kedua-dua pihak.

 

Untuk rekod, MCB sebelum ini telah memfailkan prosiding di bawah Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA) pada 26 Disember 2025 terhadap CCC bagi menuntut bayaran tidak disahkan sepenuhnya berjumlah RM10.95 juta.

 

Tuntutan tersebut berkait dengan Sijil Bayaran Interim (IPC) bagi kerja-kerja di bawah projek “Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) bagi projek ECRL yang melibatkan pembinaan stesen, bangunan sampingan serta kerja berkaitan di Dungun, Kemasik dan Chukai.

 

Pada 31 Mei 2026, adjudikator telah memutuskan bahawa CCC perlu membayar kepada MCB sebanyak RM7.77 juta bersama faedah, kos serta perbelanjaan lain di bawah keputusan pengadilan.

 

Bagaimanapun, CCC didakwa gagal mematuhi keputusan tersebut dan tidak membuat pembayaran, menyebabkan MCB memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasakan keputusan adjudikasi itu sebagai sama seperti penghakiman.

 

Permohonan penguatkuasaan tersebut masih berjalan dan dijadualkan untuk pengurusan kes lanjut di Mahkamah Tinggi pada 29 Julai 2026.

 

t

 

Dalam perkembangan terbaharu, CCC memfailkan prosiding timbang tara yang antara lain memohon deklarasi bahawa mereka tidak terikat untuk membayar jumlah RM7.77 juta yang telah diputuskan dalam keputusan adjudikasi tersebut.

 

CCC juga mendakwa mereka tidak bertanggungjawab untuk membayar sebarang jumlah melebihi nilai yang telah disahkan dalam Sijil Bayaran Interim yang dikeluarkan sepanjang pelaksanaan projek.

 

Selain itu, CCC turut menuntut MCB membayar semula pelbagai tuntutan termasuk kos, kerugian, perbelanjaan, denda kelewatan, yuran pengurusan, faedah serta lain-lain tuntutan dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM22.75 juta.

 

MCB bagaimanapun menafikan sepenuhnya semua tuntutan tersebut dan menyatakan syarikat akan mendapatkan khidmat guaman bagi mempertahankan kedudukan serta memfailkan tuntutan balas terhadap CCC bagi semua jumlah yang masih belum dibayar.

 

Menurut Mudajaya Group Berhad, prosiding ini masih berada pada peringkat awal dan sebarang impak kewangan material hanya akan bergantung kepada keputusan akhir proses timbang tara dan penguatkuasaan mahkamah.

 

Syarikat itu turut menegaskan pada ketika ini, tiada kesan kewangan material dijangka kepada kumpulan, selain kos guaman serta perbelanjaan berkaitan prosiding yang sedang berjalan.

 

Pertikaian ini dijangka terus menjadi perhatian pelabur kerana melibatkan jumlah tuntutan yang besar serta projek infrastruktur utama negara, dengan perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan Bursa Malaysia. - DagangNews.com