Pantech cabar keputusan LHDN, fail semakan kehakiman isu cukai keuntungan modal RM6.76 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pantech cabar keputusan LHDN, fail semakan kehakiman isu cukai keuntungan modal RM6.76 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Julai – Pantech Group Holdings Berhad memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) yang menolak rayuannya untuk mendapatkan pengecualian Cukai Keuntungan Modal (CGT) membabitkan taksiran berjumlah RM6.76 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tindakan tersebut diambil selepas LHDN menolak rayuan Pantech untuk mendapatkan pengecualian CGT di bawah Perintah Cukai Pendapatan (Tawaran Awam Permulaan) (Pengecualian) 2024 [P.U.(A) 290/2024].

 

Menurut syarikat itu, selepas mendapatkan nasihat undang-undang, pihaknya berpandangan terdapat alasan yang munasabah untuk mencabar keputusan berkenaan melalui saluran mahkamah.

 

"Pada 1 Julai 2026, syarikat telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman serta permohonan penangguhan pembayaran CGT di Mahkamah Tinggi Malaya berhubung keputusan LHDN.

 

"Sehingga tarikh pengumuman ini, kedua-dua permohonan tersebut masih belum didengar oleh mahkamah," katanya.

 

Isu berkenaan berpunca daripada Notis Taksiran Cukai Keuntungan Modal (CGT) berjumlah RM6,759,377.27 yang diterima syarikat daripada LHDN, seperti diumumkan pada 18 September 2025.

 

Pantech berkata, berdasarkan penilaian semasa, pertikaian cukai tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap operasi syarikat atau anak-anak syarikatnya.

 

Bagaimanapun, syarikat akan terus memantau perkembangan prosiding mahkamah dan akan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat sebarang perkembangan material. - DagangNews.com