Lebih 60% armada TLDM berusia lebih 40 tahun - Panglima TLDM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 60% armada TLDM berusia lebih 40 tahun - Panglima TLDM

Kapal TLDM KD Pendekar tenggelam semasa belayar dalam operasi. Insiden berlaku Ogos 2024.

KUALA LUMPUR 2 Julai - Lebih 60 peratus armada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berusia melebihi 40 tahun, sekaligus memberi cabaran kepada pasukan itu mengekalkan kesiapsiagaan operasi.

 

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain berkata, keadaan itu menjadi antara cabaran operasi paling kritikal yang dihadapi pasukan tersebut memandangkan kebanyakan kapal yang masih digunakan telah melepasi jangka hayat ekonomi.

 

Katanya, selain meningkatkan kos penyelenggaraan, TLDM juga berdepan kesukaran mendapatkan alat ganti.

 

“Kami mempunyai enam operasi yang memerlukan kapal digerakkan 24 jam sehari sepanjang tahun.

 

“Kapal-kapal yang sudah berusia ini masih perlu belayar dan sebagai kepimpinan TLDM, kami bimbang kerana keadaannya tidak lagi seperti ketika mula berkhidmat,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-53 Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama TLDM.

 

Beliau berkata, TLDM sentiasa menilai tahap kelayakan setiap kapal untuk terus beroperasi, namun mengakui banyak aset sepatutnya telah digantikan dengan kapal baharu.

 

Katanya, apabila sesebuah kapal menjadi semakin usang, keperluan penyelenggaraan pembaikan akan mengatasi penyelenggaraan pencegahan, menyebabkan kos meningkat dan kerosakan berlaku dengan lebih kerap.

 

"Apabila kapal menjadi usang, ia tidak lagi mengalami kerosakan mengikut jadual penyelenggaraan tetapi rosak disebabkan faktor usia.

 

"Pada masa sama, alat ganti juga semakin sukar diperoleh," katanya lapor NST.

 

Menurut Zulhelmy, terdapat kapal yang tidak lagi ekonomik untuk dibaik pulih, namun TLDM terpaksa terus mengoperasikannya sementara menunggu aset pengganti diterima.

 

Beliau berkata, Kapal Pembinasa Laju yang mula beroperasi sejak 1973 kini hanya berfungsi sebagai kapal rondaan selepas sistem pelurunya menjadi usang.

 

Dua kapal dalam kelas tersebut iaitu KD Perdana dan KD Ganas kini menjalani program penyelenggaraan bagi mengukuhkan struktur badan kapal dan memanjangkan tempoh perkhidmatannya antara 10 hingga 15 tahun lagi.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah itu hanyalah penyelesaian sementara kerana kos penyelenggaraan akan terus meningkat seiring pertambahan usia aset.

 

Zulhelmy berkata, TLDM kekal komited melaksanakan Program Transformasi 15-ke-5 yang bertujuan menggantikan pelbagai kelas kapal lama dengan lima kelas kapal moden secara berperingkat.

 

Menurutnya, pelaksanaan program itu bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, dengan proses perolehan aset baharu akan diteruskan mengikut keutamaan.

 

Setakat ini, lima kapal telah ditamatkan perkhidmatan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan transformasi tersebut, sementara TLDM menunggu penyerahan aset baharu termasuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch 2. - DagangNews.com