Farlim laburkan RM21 juta hasil jualan tanah di Gopeng, dijadikan modal pusingan dan projek hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farlim laburkan RM21 juta hasil jualan tanah di Gopeng, dijadikan modal pusingan dan projek hartanah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 JulaiFarlim Group (Malaysia) Berhad mengalihkan penggunaan dana RM20.92 juta daripada hasil penjualan tanah di Gopeng, Perak bagi membiayai modal pusingan dan projek hartanah.

 

Keputusan ini menyaksikan kumpulan itu mengubah haluan daripada perancangan asal memperuntukkan dana tersebut untuk pemerolehan simpanan tanah baharu, kepada pendekatan yang lebih fleksibel.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat menyatakan cadangan  ini melibatkan dana yang dijana daripada pelupusan tanah di Gopeng oleh anak syarikat miliknya, Farlim (Perak) Sdn Bhd.

 

"Ia dijual kepada Gabong Holding Sdn Bhd pada harga RM33 juta diselesaikan pada 10 Jun 2025, dan penyusunan semula ini dianggap perubahan material mengikut keperluan penyenaraian," kata Farlim.

 

Langkah itu dilakukan kerana melibatkan 63.39% daripada seluruh hasil pelupusan, dan memerlukan kelulusan pemegang saham melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan ditetapkan kelak.

 

Setakat 30 Jun 2026, syarikat masih ada baki dana yang belum digunakan sebanyak RM25.95 juta, dengan RM20.92 juta daripadanya kini dicadangkan untuk dialihkan bagi kegunaan modal pusingan.

 

Farlim_DagangNews2026

 

Ujar Farlim, daripada jumlah itu, sebanyak RM15.0 juta akan diperuntukkan khusus untuk membiayai kos pembangunan bagi beberapa projek perumahan yang sedang berjalan dan bakal dilancarkan.

 

"Antara projek yang terlibat termasuklah fasa pembangunan di Taman Impiana Bidor, Perak, serta beberapa projek di Pulau Pinang terutama di Balik Pulau dan Bandar Baru Ayer Itam," tambahnya.

 

Selain itu, dana tersebut juga akan menyokong projek perumahan baharu di Kapar, Selangor, susulan perjanjian pembelian 20 plot tanah kediaman daripada Top Glove Sdn Bhd oleh anak syarikatnya.

 

Baki selebihnya daripada variasi tersebut akan digunakan Farlim untuk perbelanjaan pentadbiran dan operasi umum (RM3.42 juta) serta kos berkaitan kakitangan termasuk gaji dan bonus (RM2.5 juta).

 

Lembaga Pengarah berpendapat langkah ini akan meningkatkan kedudukan aliran tunai kumpulan tanpa perlu bergantung kepada pinjaman bank atau dana dalaman untuk membiayai projek-projek tersebut.

 

"Cadangan ini dijangka tiada kesan segera terhadap modal saham atau aset bersih, namun dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan menjelang suku ketiga 2026," katanya. - DagangNews.com