KUALA LUMPUR 2 Julai – Aberdeen Group plc dari United Kingdom bukan lagi pemegang saham utama dalam SKP Resources Bhd selepas mengurangkan pegangan ekuitinya dalam syarikat pengeluar perkhidmatan pembuatan elektronik itu.
Perubahan status itu berlaku susulan pelupusan sebanyak 11.45 juta saham yang dilakukan pada 29 Jun 2026.
Transaksi berkenaan menyaksikan pegangan Aberdeen berkurangan kira-kira 0.73% kepada 4.79% yang meletakkan kedudukan mereka di bawah ambang 5% yang ditetapkan bagi kategori pemegang saham utama di bawah peraturan Bursa Malaysia.
Tarikh rujukan pemegang saham bagi pelarasan ini ditetapkan pada 17 Julai 2026.
Sebelum ini, Aberdeen memegang kira-kira 10.48% kepentingan dalam SKP Resources pada penghujung Disember 2025, namun telah mula mengurangkan pegangan secara berperingkat sejak Jun 2026.
Firma pengurusan dana itu mula muncul sebagai pemegang saham utama SKP Resources sejak Januari 2024 sebelum secara konsisten melaksanakan pelupusan saham sepanjang tempoh kebelakangan ini.
Dalam tempoh pegangan tersebut, saham SKP Resources telah mencatat penyusutan ketara sekitar 57%, daripada 67.5 sen kepada 29 sen pada penutupan dagangan 1 Julai 2026.
ARTIKEL BERKAITAN: SKP Resources rugi semula bagi 4QFY26 disebabkan kemerosotan tempahan pelanggan — PublicInvest
Penurunan harga saham itu berlaku seiring dengan prestasi kewangan syarikat yang semakin lemah dalam beberapa suku terkini.
Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY2026), SKP Resources mencatat kerugian bersih sebanyak RM37.28 juta, berbanding keuntungan RM28.73 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Keputusan tersebut dipengaruhi oleh permintaan pelanggan yang lebih rendah, tekanan margin, serta kesan kerugian penurunan nilai berjumlah RM14 juta ke atas aset hartanah, loji dan peralatan.
Bagi tahun kewangan penuh 2026, keuntungan bersih kumpulan merosot 71.33% kepada RM33.55 juta, manakala hasil turut susut 18.44% kepada RM1.81 bilion berbanding RM2.22 bilion pada tahun sebelumnya.
Syarikat turut menyatakan prestasi tersebut dipengaruhi oleh pengurangan tempahan pelanggan, tekanan kos operasi serta faktor luaran termasuk tarif dan ketidaktentuan geopolitik di rantau Timur Tengah yang menjejaskan rantaian bekalan global.
Secara keseluruhan, FY2026 menjadi tahun paling lemah bagi SKP Resources sejak FY2014 dari segi keuntungan yang menggambarkan cabaran berterusan dalam sektor pembuatan elektronik.- DagangNews.com








