Jenama nasional dominasi pasaran automotif negara, model asing bergelut saingan sengit - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jenama nasional dominasi pasaran automotif negara, model asing bergelut saingan sengit - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Feb — Pasaran automotif dijangka terus menyaksikan dominasi jenama nasional pada tahun ini, manakala pengeluar bukan nasional pula diramal berdepan tekanan yang semakin memuncak.


Menurut analisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), situasi berkenaan susulan persaingan yang sengit daripada pelbagai pemain baharu serta kos operasi pula didapati semakin meningkat di pasaran.


Kata firma itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Januari 2026 merosot 29.1% bulan ke bulan (MoM) kepada 64,300 unit, namun melonjak 26.9% tahun ke tahun (Y0Y) disokong pemulihan bekalan.


"Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatat jualan 26,100 unit pada permulaan 2026, sekali gus masih mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dengan pegangan 40.6%," katanya.


Prestasi jualan jenama tempatan tersebut tambah HLIB dalam nota kajiannya, agak mengejutkan dengan pertumbuhan YoY yang positif walaupun tahap inventori didapati susut menjelang akhir 2025.


Proton Holdings Berhad pula merekodkan jualan bulanan tertinggi baharu iaitu 19,800 unit pada Januari 2026, meningkatkan pegangan pasaran kepada 30.7%, dan merapatkan jurang dengan Perodua.


Bagaimanapun ujarnya, jumlah eksport Proton kekal rendah pada 83 unit kerana pengeluar peralatan asal (OEM) nasional itu memberi keutamaan kepada pemenuhan tempahan domestik yang masih kukuh.


HLIB menjangkakan pendapatan sektor automotif kekal tertekan sepanjang 2026 susulan jangkaan volum jualan lebih rendah serta peningkatan kos operasi akibat usaha promosi yang semakin agresif.


"Sehubungan itu, kami mengunjurkan TIV kembali normal kepada sebanyak 780,000 unit pada tahun ini, hampir selari dengan unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 790,000 unit," tambahnya.


Bagaimanapun jelas firma penyelidikan berkenaan, kesan tersebut dijangka diserap sebahagiannya oleh pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun yang lemah.


Dalam perkembangan berkaitan, ia melaporkan pegangan pasaran jenama nasional naik kepada 71.4% pada Januari 2026, dipacu faktor jualan kukuh Proton susulan pelancaran model Saga yang baharu.


Menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), ia mengatasi Perodua Bezza sebagai model terlaris bulan tersebut, dengan lebih 19,000 unit diserahkan daripada hampir 100,000 tempahan.


"Unjuran TIV mungkin mencecah 800,000 unit tahun ini, bersandarkan kejelasan dasar selepas program subsidi petrol BUDI95 dilaksanakan serta pengesahan semakan nilai pasaran terbuka," kata HLIB. 


Keadaan berkenaan jelasnya, tidak akan mencetuskan kenaikan harga kenderaan secara serta-merta, dan ia meramalkan penembusan kenderaan elektrik (EV) jenama nasional meningkat pada tahun ini.


Situasi positif itu disokong pelancaran Proton e.MAS 5 dan kesinambungan insentif cukai bagi EV pemasangan tempatan (CKD), meskipun permintaan keseluruhan dijangka sederhana. - DagangNews.com