Isu Tarif Trump kembali gugat pasaran susulan Mahkamah Agung AS isytihar tidak sah, penganalisis kekal fokus sektor domestik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu Tarif Trump kembali gugat pasaran susulan Mahkamah Agung AS isytihar tidak sah, penganalisis kekal fokus sektor domestik

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump menunjukkan dokumen mengenai Perjanjian Tarif Timbal Balik (ART) yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. - Foto kredit Pejabat Perdana Menteri
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Feb — Ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) kembali mencetuskan kebimbangan pasaran selepas Mahkamah Agung memutuskan tarif timbal balik sebagai tidak sah.


Presiden Donald Trump namun segera bertindak balas dan mengenakan tarif import global baharu 15% di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 selama 150 hari, menggantikan kadar 10% sebelum ini.


Mengulas perkembangan itu, dua firma penyelidikan berpandangan situasi tarif masih samar dan berpotensi terus berubah, serta mengekalkan ketidaktentuan terhadap prospek perdagangan Malaysia.


Menurut Maybank IB, keputusan mahkamah itu secara teknikal menurunkan tarif timbal balik Malaysia daripada 19%, dengan pengecualian produk elektrik dan elektronik (E&E) iaitu eksport utama ke AS.


“Walaupun perkembangan ini positif dari sudut kadar yang lebih rendah, landskap tarif ini kekal dinamik dan terlalu awal untuk menukar strategi pelaburan,” katanya dalam nota kajian hari ini.


MBSB Research pula menegaskan walaupun tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) dibatalkan mahkamah tersebut, pentadbiran AS masih boleh menggunakan banyak saluran lain.


Ini jelas firma berkenaan, seperti Seksyen 232 untuk isu keselamatan negara, dan Seksyen 301 bagi kes amalan perdagangan tidak adil yang bersifat sektoral, sekali gus berisiko kepada Malaysia.


Keadaan itu katanya, menimbulkan risiko baharu khususnya kepada industri semikonduktor dan elektronik maju, memandangkan Malaysia merupakan pemain penting dalam rantaian bekalan global cip.


"Sektor E&E Malaysia menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan dua angka tahun lalu dan prestasi kukuh awal 2026, sebahagiannya didorong aktiviti menjelang pelaksanaan tarif," kata MBSB Research.


Bagaimanapun tambahnya, jika AS beralih kepada tarif sektoral, sektor semikonduktor dan teknologi berpotensi terdedah kepada tekanan baharu, sekali gus mengehadkan momentum jangka sederhana.


Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan pendirian yang memberi fokus sektor berteraskan domestik seperti perbankan, pengguna, pembinaan, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui (RE).


Firma itu kekal 'neutral' terhadap sektor teknologi, dengan pandangan bahawa rantaian bekalan global yang kompleks serta tempahan kapasiti yang hampir penuh mengehadkan ruang tambahan.


"Bagi sektor sarung tangan, prospek masih dibayangi pertumbuhan kapasiti dari China di Asia Tenggara dan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS sendiri," jelas firma penyelidikan itu.


Dalam pada itu, MBSB Research mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2026 pada 4.6%, manakala sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) 2026 kekal 1,850 mata.


Situasi tersebut tambahnya, sudah mengambil kira risiko tarif AS yang kemungkinan berubah secara tiba-tiba serta ketegangan geopolitik rantau Timur Tengah yang boleh menjejaskan inflasi global.


Secara keseluruhan, walaupun keputusan mahkamah memberi sedikit kelegaan jangka pendek kepada pasaran, kedua-dua firma penyelidikan menegaskan risiko dasar perdagangan AS masih belum reda.


Mereka berpendapat, potensi peralihan kepada tarif lebih bersasar boleh memberi kesan langsung kepada struktur eksport Malaysia dalam jangka terdekat. - DagangNews.com