KUALA LUMPUR 20 Feb – Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) Malaysia bagi tahun 2024 menurun kepada 0.0025 berbanding 0.0037 pada tahun 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan, DOSM memaklumkan penurunan itu mencerminkan kemajuan berterusan dalam pengurangan kemiskinan bukan kewangan di seluruh negara.
MPI merupakan ukuran kemiskinan yang menilai kesejahteraan isi rumah bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga aspek pendidikan, kesihatan dan taraf hidup.
Laporan ini menggunakan 10 indikator utama untuk menilai pelbagai dimensi kehidupan rakyat Malaysia secara holistik, berdasarkan garis panduan Oxford Poverty and Human Development Initiative.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan MPI menunjukkan pengurangan pertindihan ketersisihan dalam kalangan isi rumah, terutamanya dalam dimensi kesihatan dan beberapa komponen taraf hidup.
“Nilai indeks yang lebih rendah bermakna kemiskinan pelbagai dimensi menjadi kurang ketara.
“Jurang bandar dengan luar bandar masih wujud, dengan MPI kawasan bandar kekal rendah pada 0.0001 bagi kedua-dua tahun 2022 dan 2024 manakala kawasan luar bandar mencatatkan MPI lebih tinggi tetapi menurun daripada 0.0164 pada 2022 kepada 0.0109 pada 2024.
“Ini menunjukkan penambahbaikan meskipun kemiskinan masih tertumpu dalam kalangan komuniti luar bandar,” katanya.
Dalam dimensi pendidikan, ketersisihan berkaitan tahun persekolahan menunjukkan penurunan daripada 0.0003 pada 2022 kepada 0.0001 pada 2024.
Indikator kehadiran di sekolah pula kekal stabil pada 0.0001, menunjukkan akses pendidikan terus dapat dipelihara secara meluas di seluruh negara.
Bagi dimensi kesihatan, akses kepada perkhidmatan kesihatan menurun daripada 0.0013 pada 2022 kepada 0.0009 pada 2024, manakala akses kepada bekalan air bersih berkurang daripada 0.0014 kepada 0.0010.
Walaupun terdapat penambahbaikan, kedua-dua indikator ini masih menjadi komponen utama dalam profil kemiskinan pelbagai dimensi Malaysia.
Dimensi taraf hidup juga menunjukkan kemajuan berperingkat. Keadaan kediaman dan kepadatan bilik kekal pada 0.0001, manakala ketersisihan berkaitan sanitasi, pengangkutan dan akses kepada peralatan komunikasi asas berada pada 0.0000.
Akses kepada perkhidmatan kutipan sampah menurun daripada 0.0004 kepada 0.0003, menunjukkan penambahbaikan secara perlahan tetapi berterusan.
Jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia mencatat MPI 0.0025 pada 2024, lebih tinggi daripada Thailand (0.0018; 2022) tetapi lebih rendah berbanding Vietnam (0.0077; 2021), Indonesia (0.0140; 2017) dan Filipina (0.0158; 2022).
Statistik ini menunjukkan prestasi Malaysia berada pada tahap yang baik di peringkat serantau.
Beliau berkata usaha berterusan untuk memperkukuh akses kepada air bersih dan perkhidmatan kesihatan, serta penambahbaikan taraf hidup asas, adalah penting untuk mempercepat pengurangan kemiskinan pelbagai dimensi dan memastikan pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif.
Selain itu, DOSM turut menyusun MPI dengan mengambil kira pendapatan isi rumah sebagai dimensi tambahan dan sedang menjalankan Banci Ekonomi 2026 untuk mengumpul data komprehensif mengenai prestasi ekonomi negara. - DagangNews.com








