KUALA TERENGGANU 13 Julai – Pendigitalan perniagaan, pembangunan industri halal dan penyediaan pangkalan data usahawan menjadi antara fokus Kerajaan Terengganu tahun ini menerusi beberapa inisiatif yang sedang dilaksanakan di bawah Bajet 2026 bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, sehingga Mei 2026, beberapa program yang dirancang telah disiapkan manakala sebahagian lagi sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan rakyat Terengganu dalam bidang keusahawanan dan pekerjaan.
Beliau berkata, antara inisiatif yang telah siap ialah pembangunan i-SUTRA yang kini digunakan sebagai pangkalan data bersepadu usahawan bagi membantu kerajaan merancang dasar dan program pembangunan usahawan secara lebih bersasar.
Menurut beliau, i-SUTRA merupakan penambahbaikan kepada Pangkalan Data Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) yang dinaik taraf kepada sistem atas talian sepenuhnya serta mampu diintegrasikan dengan semua bahagian dan kemudahan yang disediakan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kepada usahawan.


Pendigitalan dan Industri Halal Diberi Tumpuan
Ariffin berkata, kerajaan negeri turut menubuhkan Majlis Halal Terengganu secara rasmi pada 28 Januari 2026 sebagai platform menyelaras pembangunan industri halal negeri.
Beliau berkata, langkah itu akan disusuli dengan pelaksanaan Pelan Pengukuhan Industri Halal Negeri Terengganu 2030 (PAHAT) sebagai hala tuju jangka panjang bagi membangunkan ekosistem industri halal di negeri berkenaan.
“Dalam masa sama, YPU sedang menyiapkan TikTok Studio kekal yang dijangka mula beroperasi pada Julai 2026 bagi membantu usahawan mempromosikan serta menjual produk menerusi platform e-dagang.
“Selain penyediaan studio berkenaan, YPU juga telah menganjurkan dua siri latihan pendigitalan perniagaan bersama TikTok dan Shopee, manakala siri latihan seterusnya akan diteruskan sepanjang tahun ini bagi menggalakkan lebih ramai usahawan memanfaatkan platform digital,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) yang mahu penjelasan inisiatif dilakukan kerajaan negeri Terengganu dalam meningkatkan keupayaan rakyat melalui pekerjaan dan keusahawanan dalam soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Tambah Ariffin, Program Usahawan Belia Sejahtera pula sedang dilaksanakan melibatkan 40 peserta daripada golongan asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan pembiayaan RM420,480 yang disalurkan oleh Maybank Islamic.


Lebih Banyak Peluang Kepada Usahawan
Dalam perkembangan sama, Ariffin berkata, perbincangan dengan Bank Muamalat Malaysia Bhd bagi melaksanakan Program Usahawan TEKAD Terengganu (PAUT) membabitkan 40 usahawan daripada kumpulan B40 dan asnaf turut diteruskan selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA).
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang menambah baik syarat pendaftaran Program Sijil Anak Terengganu (ATC) bagi membolehkan lebih ramai kontraktor dan vendor PETRONAS berdaftar di bawah program itu sekali gus meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri minyak dan gas.
Menurutnya, Kempen Sokong Perniagaan dan Produk Orang Terengganu (SAPOT) setakat ini telah melibatkan lima usahawan terpilih, dengan kos promosi ditanggung secara perkongsian 50:50 antara usahawan dan pempengaruh digital sebagai komitmen bersama dalam memperluaskan pasaran produk tempatan.
Beliau berkata, Karnival Usahawan dan Koperasi serta Festival Halal pula masih dalam perancangan, dengan pelaksanaannya bergantung kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Ariffin memaklumkan kerajaan negeri telah menyalurkan dana berjumlah RM6.248 juta bagi pembangunan usahawan sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini, termasuk dana yang disalurkan semula menerusi pusingan bayaran balik pinjaman.
Beliau berkata, seramai 10,426 usahawan telah menerima manfaat daripada pelbagai program pembangunan usahawan yang dilaksanakan kerajaan negeri, manakala bagi skim pembiayaan dan geran pula seramai 2,718 usahawan menerima bantuan sehingga Mei 2026, meliputi 704 penerima pembiayaan dan 2,014 penerima geran bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan. - DagangNews.com








