Pengembangan agresif syarikat sarung tangan China tekan pengeluar Malaysia - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengembangan agresif syarikat sarung tangan China tekan pengeluar Malaysia - HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Julai - Pengeluar sarung tangan Malaysia dijangka terus berdepan tekanan berikutan pengembangan kapasiti yang agresif oleh syarikat pengeluar terbesar China, sekali gus menyebabkan lebihan bekalan global berterusan, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata lebihan bekalan itu didorong terutamanya oleh Intco Medical Technology dari China, yang terus meningkatkan kapasiti pengeluaran ketika pesaing serantau mengambil pendekatan lebih berdisiplin.

 

Strategi itu katanya menghalang pemulihan harga jualan purata (ASP) dan mengekalkan persaingan sengit dalam industri, walaupun prestasi kewangan pengeluar Malaysia menunjukkan tanda-tanda bertambah baik.

 

Menurut HLIB, Intco meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunannya kepada 103 bilion sarung tangan pada 2025 berbanding 87 bilion pada 2024, manakala kapasiti sarung tangan nitril meningkat kepada 70 bilion unit daripada 56 bilion unit.

 

"Perbelanjaan modal Intco terus melebihi susut nilai dan pelunasan menunjukkan syarikat itu masih meneruskan rancangan pengembangan kapasiti.

 

"Sebaliknya, pengeluar lain di rantau ini mengambil pendekatan lebih konservatif. Sri Trang Gloves di Thailand, misalnya, mengekalkan perbelanjaan modal di bawah paras susut nilai, manakala kebanyakan pengeluar Malaysia turut mengehadkan pelaburan baharu sejak dua tahun lalu," katanya dalam nota penyelidikan.

 

HLIB berkata, Kossan Rubber Industries Bhd. merupakan satu-satunya pengeluar tempatan yang mencatat perbelanjaan modal lebih tinggi, namun sebahagian besar dana itu digunakan bagi pemerolehan tanah dan inisiatif pengoptimuman kos, bukannya menambah kapasiti pengeluaran.

 

Margin Berpotensi Negatif

Firma itu menjangkakan Intco akan terus mengembangkan kapasitinya pada 2026 dan tahun-tahun berikutnya dengan matlamat mengekalkan kadar penggunaan industri di bawah paras keseimbangan sekitar 85%.

 

Strategi itu dijangka mengehadkan ASP kepada sekitar AS$15 bagi setiap 1,000 unit di pasaran luar Amerika Syarikat dan sekitar AS$16 bagi setiap 1,000 unit di pasaran Amerika Syarikat, sekali gus menyebabkan margin keuntungan pengeluar serantau mengecil atau berpotensi negatif.

 

“Dalam jangka panjang, strategi ini berpotensi membolehkan Intco meningkatkan pegangan pasarannya secara beransur-ansur apabila pemain yang lebih lemah berdepan kesukaran untuk terus beroperasi secara menguntungkan,” katanya.

 

HLIB berkata, walaupun Intco turut berdepan tekanan harga, syarikat itu masih berjaya mencatat margin keuntungan bersih teras sebanyak 11.4% pada 2024 dan 8.3% pada 2025, sekali gus mencerminkan keupayaannya mengekalkan keuntungan walaupun ASP lebih rendah.

 

Firma penyelidikan itu turut menjelaskan bahawa sebarang gangguan semula laluan perkapalan di Selat Hormuz boleh memberikan sokongan sementara kepada ASP berikutan bekalan bahan mentah menjadi lebih ketat.

 

Namun, sekiranya laluan perairan itu terus dibuka, lebihan bekalan secara struktur dijangka kekal menjadi faktor utama yang membentuk prospek sektor tersebut.

 

Prestasi Saham

Dari sudut prestasi pasaran saham, sektor sarung tangan mengatasi prestasi FBM KLCI pada separuh pertama 2026 apabila Top Glove Corporation Bhd. mencatat kenaikan 6.2% dan Hartalega Holdings Bhd. meningkat 1.4%, berbanding penurunan 1% indeks penanda aras.

 

Bagaimanapun, saham Kossan Rubber Industries Bhd. susut 3.6% dalam tempoh sama.

 

Menurut HLIB, kenaikan saham sektor itu sebelum ini didorong jangkaan pendapatan yang lebih baik hasil peningkatan ASP serta kebimbangan terhadap gangguan bekalan getah nitril butadiena (NBR) susulan konflik di Iran.

 

Namun, sentimen kembali berubah selepas memorandum persefahaman damai antara Amerika Syarikat dan Iran ditandatangani pada pertengahan Jun yang membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap bekalan bahan mentah.

 

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan "Pegang" terhadap Top Glove, Hartalega dan Kossan, kerana berpandangan lebihan bekalan yang berterusan masih menjadi faktor utama yang mengehadkan prospek sektor walaupun pendapatan syarikat-syarikat pengeluar dijangka bertambah baik dan harga saham telah mengalami pembetulan.  - DagangNews.com