KUALA LUMPUR 13 Julai – Digital Nasional Berhad (DNB) dikhuatiri mencatatkan kerugian terkumpul RM1.5 bilion dalam masa tiga tahun selepas pemindahan ekuiti saham kepada syarikat-syarikat telekomunikasi.
Bagaimanapun CIMB Securities berpandangan prospek sektor telekomunikasi negara masih lagi kukuh disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang semakin sihat sejak tempoh beberapa suku lepas.
Firma penyelidikan tersebut berkata, Kementerian Kewangan (MoF) dijangka melengkapkan proses pemindahan pegangan saham kepada beberapa syarikat telekomunikasi terlibat seawal suku ketiga 2026.
"Justeru, DNB dijangka mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM700 juta pada tahun kewangan 2026 (FY26), diikuti RM500 juta (FY27) dan RM300 juta (FY28)," jelasnya dalam analisis sektor tersebut.
Perkembangan ini tambah CIMB Securities, dijangka memberi kesan terhadap pendapatan separuh tahun kepada setiap syarikat yang terbabit mengambil bahagian namun industri itu dijangka kembali pulih.
Syarikat telekomuniksi ujarnya, berpeluang menikmati pertumbuhan hasil yang lebih kukuh pada 2026 dan 2027, berikutan pemulihan pasaran secara berterusan serta strategi pengoptimuman harga semasa.

Sehubungan itu, ia menaikkan unjuran pertumbuhan hasil bagi 2026 kepada antara 2% hingga 3%, berbanding jangkaan hanya 1%, selepas prestasi industri pada separuh pertama mengatasi unjuran.
"Walaupun tidak terlalu tinggi, ini dijangka menjadi kadar pertumbuhan hasil mudah alih paling kukuh sejak 2013, dengan momentum positif dijangka berterusan hingga 2027," kata CIMB Securities.
Ia menganggarkan setiap peningkatan satu mata peratusan dalam pertumbuhan hasil mudah alih mampu meningkatkan keuntungan bersih teras CelcomDigi Berhad dan Maxis Berhad antara 3% hingga 5%.
Menurutnya, peningkatan prestasi operasi syarikat itu dijangka mengimbangi kesan pengiktirafan kerugian DNB, serta menyokong prestasi pertumbuhan secara berterusan bagi FY26 hingga FY27.
Dalam segmen talian tetap, CIMB Securities menjangka hasil berkembang antara 3% hingga 5% pada separuh kedua 2026, disokong prestasi lebih baik dalam perniagaan borong domestik dan antarabangsa.
"Pertumbuhan ini namun dijangka sedikit terjejas berikutan penangguhan 'Asia Link Cable', selain semakan Standard Mandatori Mengenai Harga Akses (MSAP) yang memberi kesan sederhana," jelasnya.
Oleh itu, ia mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) kekal pilihan utama dengan penilaian saham dianggap masih menarik. - DagangNews.com








