KUALA LUMPUR 13 Julai – Betamek Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Betamek Electronics (M) Sdn Bhd (BESB) menerima pengiktirafan Pembuatan Pintar Tahap 4 di bawah program Penilaian Pembuatan Pintar Industry4WRD yang membuktikan kemajuan syarikat dalam melaksanakan teknologi pembuatan pintar dan pendigitalan operasi.
Betamek dalam satu kenyataan memaklumkan, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan kumpulan meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh daya saing pembuatan serta menyokong agenda transformasi Industri 4.0 negara menerusi pelaburan dalam automasi, sistem digital dan pengoptimuman proses.
Menurut syarikat itu, pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan membolehkan keupayaan pembuatannya dipertingkat secara berterusan bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam sektor elektronik automotif yang semakin berkembang.
Sebagai pengeluar reka bentuk asal (ODM) komponen elektronik automotif, syarikat memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan produktiviti, kawalan kualiti dan keterlihatan rantaian bekalan bagi mengekalkan piawaian operasi yang tinggi serta menawarkan penyelesaian yang inovatif dan kos efektif kepada pelanggan.
Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, pengiktirafan Pembuatan Pintar Tahap 4 merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen syarikat terhadap transformasi digital dalam operasi pengeluarannya.
"Ketika industri automotif terus berkembang, kecemerlangan pembuatan, automasi dan pembuatan keputusan berasaskan data menjadi kelebihan daya saing yang semakin penting.
"Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memajukan perjalanan transformasi digital kami. Kami akan terus memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan ketangkasan operasi, menyokong pertumbuhan pelanggan dan membina platform yang lebih kukuh bagi penciptaan nilai jangka panjang," katanya.
Pengiktirafan itu disampaikan pada Majlis Penutupan Anugerah Auto-SMART yang berlangsung hari ini sebagai pengiktirafan terhadap penggunaan teknologi pembuatan termaju, inisiatif pendigitalan serta amalan pembuatan pintar yang diterapkan dalam operasi BESB.
Tambahnya, pembuatan pintar dijangka memainkan peranan yang semakin penting dalam menyokong rancangan pertumbuhan masa depan syarikat, khususnya apabila elektronik automotif menjadi semakin canggih dan bersepadu dalam platform kenderaan generasi baharu.
Sehubungan itu, kumpulan akan terus memperluaskan pelaksanaan inisiatif Industri 4.0 menerusi penggunaan teknologi pembuatan termaju, automasi proses dan integrasi digital bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam ekosistem elektronik automotif. - DagangNews.com








